DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 merupakan agensi kerajaan yang berperanan penting dalam merancang, memperkembang dan memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Sehubungan itu, perancangan bahasa merujuk kepada usaha terancang untuk membawa perubahan dan perkembangan yang diinginkan terhadap sesebuah bahasa, khususnya bahasa negara.
Usaha ini merangkumi penggubalan dasar dan perundangan, selain pelaksanaan peraturan serta amalan bahasa bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.
Secara umumnya perancangan bahasa terdiri dua jenis, iaitu perancangan status dan perancangan korpus. Bahasa Melayu tidak terkecuali dalam hal ini. Untuk perancangan status, bahasa Melayu yang sudah dinobatkan sebagai bahasa negara mahu dipastikan diterima dengan baik oleh rakyat.
Dalam hal penerimaan ini, bahasa Melayu rata-ratanya diterima baik dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Sebaliknya hal yang sama tidak berlaku pada bahasa Melayu dalam perananannya sebagai bahasa rasmi. Ini kerana peranan bahasa kebangsaan bersifat simbolik semata-mata.
Dengan ini, ia tiada unsur penggunaan yang wajib. Ini sangat berbeza dengan bahasa rasmi yang wajib digunakan, khususnya dalam sistem negara. Antaranya adalah pendidikan, perundangan dan pentadbiran.
Oleh itu, penerimaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dilihat sebagai sekadar lambang identiti yang dikaitkan dengan semangat kebangsaan dan cintakan negara. Justeru ia tidak sama dengan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi yang hendaklah menjadi wahana utama untuk komunikasi dan pendidikan di negara ini.
Dengan ini, peranan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi akan membawa perubahan pada kelakuan kebahasaan rakyat. Ini sudah tentu akan menyinggung sensitiviti kelompok tertentu dari segi etnisiti dan cauvinisme.
Ini kerana kegiatan ekonomi dan pencapaian akademik kelompok tertentu itu tidak pun pernah diidentifikasikan dengan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa rasmi.
Sisi akademik pelaksanaan bahasa Melayu selaku bahasa rasmi bukan sahaja melibatkan penggunaannya dalam bidang pendidikan sebagai bahasa pengantar utama lagi tunggal, malah pengetahuan baik dan penguasaan tinggi terhadapnya oleh setiap rakyat di segenap pelosok tanah air.
Untuk semua ini, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tidak boleh bermula dengan serta-merta. Ini adalah untuk mengelak berlakunya keadaan tidak tenteram. Ini kerana banyak pihak yang belum bersedia untuk menerima perubahan ini apabila bahasa Melayu mahu digunakan secara mendadak.
Oleh itu, satu tempoh yang agak lama diberikan untuk rakyat melakukan penyesuaian yang sepatutnya. Ia bukan sahaja untuk membolehkan pihak yang belum cekap dalam bahasa Melayu mempelajarinya, malah menyediakan mereka menerima bahasa ini seadanya apabila berurusan secara rasmi dengan kerajaan.
Dengan kata lain, selama 10 tahun dari bermula 1957 hingga 1967 diperuntuk bagi seluruh rakyat mempelajari bahasa Melayu. Selain ini, tempoh ini adalah penting sekali untuk mengkodifikasikan bahasa Melayu agar cekap sekali dalam memikul peranan sebagai bahasa rasmi.
Sebenarnya kodifikasi, iaitu proses untuk mensistematikkan bahasa Melayu, antaranya pada nahu dan kosa katanya, adalah antara kegiatan penting dalam perancangan korpus bahasa Melayu. Sehubungan ini, perancangan korpus adalah kegiatan yang sifatnya linguistik. Ini kerana memang berkaitan dengan struktur dalaman bahasa, seperti ejaan, tulisan, sebutan, kosa kata, istilah, nahu dan wacana.
Ia berbeza sekali dengan perancangan status yang secara asasnya tidak pun berkaitan dengan linguistik dan struktur dalaman bahasa. Sebaliknya perancangan status memberi tumpuan sepenuhnya kepada persoalan sosial yang berkait dengan perancangan bahasa.
Walau bagaimanapun, kedua-dua jenis perancangan status dan korpus saling melengkapi. Dengan ini, kedua-dua ini sebenarnya bergabung dalam cara masing-masing bagi mempertingkat selain menegaskan peranan satu sama lain.
Kodifikasi adalah antara kegiatan perancangan korpus bahasa Melayu yang penting. Ia terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga bahagian, iaitu kegiatan mensistematikkan ejaan, nahu dan kosa kata. Untuk ejaan, bertujuan menyelaraskannya bagi mengurangkan kelainan ketika mengeja dan menyebut dalam kalangan komuniti bahasa Melayu.
Sebelum wujudnya Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia pada Ogos 1972, bahasa Melayu mempunyai beberapa sistem untuk mengeja dan menyebut. Antara yang masyhur ialah Sistem Za’ba yang digubal pada 1924 oleh Pendeta Zainal Abidin Ahmad.
Satu ciri penting lagi baik pada Sistem Za’ba ialah bunyi vokal tengah (iaitu e-pepet) dan bunyi vokal depan (yakni e-taling) dibezakan semasa dieja.
Dalam sistem ini, perkataan semak (e-pepet) untuk kata nama belukar dan semak (e-taling) bagi kata kerja periksa dieja secara berlainan bakal membezakan dua makna yang tidak sama.
Dengan ejaan huruf e yang dibezakan dengan adanya tanda untuk e-pepet di atasnya atau tiada bagi e-taling, ia bukan sahaja untuk menyerlahkan ejaan dua perkataan ini yang ada kelainannya antaranya. Begitu jugalah dengan sebutan yang memang tidak sama antara dua bunyi ini.
Malang sekali ciri yang membezakan ini tidak dikekalkan pada Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia, yang ikut diguna pakai di Indonesia dengan nama Pedoman Ejaan Bahasa Indonesia Yang Disempurnakan.
Untuk ciri ini, huruf e digunakan tanpa sebarang tanda dalam membezakan bunyi vokal tengah (e-pepet) dengan bunyi vokal depan (e-taling).
Dengan ini, berlakulah kesalahan sebutan pada perkataan bahasa Melayu yang mempunyai huruf e. Ini kerana tanpa adanya tanda untuk membezakan dua bunyi vokal yang memang berbeza itu, akan timbullah kekeliruan penyebutan.
Dalam hal ini, kita sering mendengar perkataan enggan yang sepatutnya huruf e itu disebut sebagai e-pepet dilafazkan secara salah, iaitu sebagai e-taling.
Kesalahan ini ikut dilakukan oleh etnik Melayu sendiri sebagai penutur jati bahasa Melayu. Kesalahan begini kini sangat berleluasa. Ia dapat selalu didengar, termasuklah pada wacana formal lisan dalam majlis rasmi negara.
Sebagai contoh, perkataan rendang (e-taling) yang maksudnya adalah keadaan teduh pada pokok, didapati sering disebut sebagai rendang (e-pepet) untuk makanan.
Hal ini pernah berlaku pada kalimat “rendang tidak berbuah” yang maksudnya adalah “pokok rendah yang banyak daun serta cabangnya, tetapi tidak ada hasil dari segi buahnya”. Ia yang sudah betul dari segi maksud itu cuba diperbetul kerana ia dianggap salah. Ini kerana e-taling pada perkataan rendang itu disangkakan e-pepet pada makanan rendang.
Oleh itu, untuk melengkapkan maksud pada makanan itu, diubahkan kalimat itu menjadi “rendang tidak berkuah”, yakni makanan itu yang tidak ada kuahnya.
Inilah antara musibah tindakan untuk menggugurkan tanda pada huruf e dalam membezakan dua bunyi vokal yang tidak sama pada Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia itu. Ia tindakan linguistik yang tidak cakna pada perancangan korpus bahasa Melayu. Ini kerana sistem itu mengelirukan ekoran daripada tiadanya usaha untuk membezakan huruf e dalam ia mewakli dua bunyi vokal yang tidak sama.
Sesungguhnya ciri membezakan dua bunyi vokal yang tidak sama, iaitu vokal tengah (e-pepet) dan vokal depan (e-taling), dengan menggunakan tanda untuk membezakan kedua-duanya, adalah tindakan linguistik tepat.
Pun begitu, sepatutnya tanda itu diberikan kepada huruf e yang mewakili e-taling dan bukannya e-pepet. Ini kerana jumlah bentuk bahasa Melayu yang terdiri daripada e-taling adalah jauh lebih rendah daripada yang terdiri daripada e-pepet.
Dalam hal ini, ia sangat menjimatkan dari segi ekonomi mengeja apabila huruf e yang mewakili e-taling diberikan tanda. Bukannya huruf e yang mewakili e-pepet yang jauh lebih banyak bilangannya.
Pun begitu, tindakan linguistik yang diambil oleh Za’ba adalah jauh lebih pintar daripada yang diputuskan pada sistem yang diusaha sama oleh Malaysia dan Indonesia pada 1972 itu.
Walaupun pelbagai alasan diberikan untuk tidak menggunakan tanda bagi membezakan huruf e yang sama ada mewakili e-pepet atau e-taling, kesemuanya didapati meleset sekali.
Ini kerana ia sistem yang bukan sahaja tidak pintar, malah tidak cekap. Dalam hal ini, ia tindakan linguistik tidak baik kerana tidak membezakan dua bunyi bahasa yang tidak sama dengan dua huruf yang berbeza melalui apa-apa cara sekali pun.
Sesungguhnya ia ikut mencacatkan sistem ejaan kita yang tidak dapat dinafikan mempunyai dampak buruk pada sebutan bahasa Melayu.
Untuk ini, sesuatu yang lebih konkrit haruslah segera dilakukan. Dalam hal ini, ia tidak boleh sekadar mencatatkan perbezaan itu dalam kamus sahaja. Sebaliknya ia hendaklah tampak jelas pada ejaan di mana-mana untuk sebutannya yang tepat pada bila-bila masa.
Ini penting sekali agar jati diri fizikal bahasa Melayu bukan sahaja terus utuh. Juga selalu tegap bersama-sama yang lain, antaranya psikologi dan sosial. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










