MOSCOW: Seorang pelajar kolej berusia 18 tahun, Timofey Vakhonin, dijatuhi hukuman penjara selama lima hari selepas bertindak memesan piza menggunakan nama bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler.
Pelajar itu membuat pesanan di sebuah restoran tempatan di Nizhny Tagil, sebuah bandar industri di wilayah Urals, Russia.
Menurut laporan agensi berita milik kerajaan, RIA Novosti, pihak polis telah mendakwa remaja yang merupakan pelajar jurusan elektrik di sebuah kolej pembinaan itu atas kesalahan mempromosikan dan menyebarkan simbol Nazi.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku di sebuah cawangan restoran Dodo Pizza yang terletak di dalam sebuah pusat beli-belah tempatan di Nizhny Tagil. Kes tersebut mula mendapat perhatian selepas Alexei Svalov, seorang ahli dewan perundangan wilayah Sverdlovsk berkongsi maklumat mengenainya di aplikasi Telegram.
Svalov mendedahkan bahawa rakannya yang juga merupakan seorang veteran perang tersinggung selepas melihat pesanan makanan tersebut dibuat atas nama diktator Nazi berkenaan.
“Semua ini berlaku di hadapan mata rakan saya, seorang veteran Operasi Ketenteraan Khas (SVO). Saya tidak dapat bayangkan bagaimana dia mampu menahan sabar daripada menghentam muka remaja itu ke meja, tetapi saya fikir ini adalah kes yang sangat jelas untuk tindakan pihak berkuasa.
“Remaja itu langsung tidak cuba bersembunyi. Apabila ditanya ‘apa yang kamu cuba lakukan?’, dia kemudian menjawab: ‘saya menentang perang, saya tidak menyokongnya, ini adalah pendirian saya,'” tulis Savlov di Telegram.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelajar berkenaan mengaku dia bukanlah seorang Nazi atau bersimpati dengan ideologi tersebut. Remaja itu mendakwa dia tidak memahami sepenuhnya implikasi dan kesan daripada perbuatannya itu.
Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut pihak berkuasa turut menemukan satu simbol terlarang di atas meja belajarnya yang mana gambar simbol tersebut telah diambil dan dikongsi olehnya ke dalam satu forum sembang dalam talian. – AGENSI










