Lelaki dipenjara hasut bunuh ahli politik Jerman

Lelaki dipenjara hasut bunuh ahli politik Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Seorang lelaki warga Jerman-Poland dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menerbitkan ‘hukuman mati’ secara dalam talian dan menyeru untuk membunuh beberapa ahli politik, termasuk bekas canselor negara itu.

Mahkamah di Duesseldorf pada Jumaat memutuskan Martin S., 50, bersalah atas beberapa kesalahan berkaitan keganasan, termasuk membiayai aktiviti pengganas, menyebarkan arahan melakukan serangan serta menyediakan panduan menghasilkan bahan letupan seperti bom Molotov.

Sepanjang perbicaraan, tertuduh mengaku mengendalikan platform gelap tanpa nama dikenali sebagai ‘Assassination Politics’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut mahkamah, dia menggunakan laman itu untuk menyeru serangan terhadap tokoh awam dan menerbitkan senarai individu yang didakwa melakukan kesalahan tertentu, lengkap dengan ‘hukuman mati’ yang dijatuhkannya sendiri.

Bekas Canselor Jerman, Angela Merkel dan Olaf Scholz turut termasuk dalam senarai sasarannya.

Sumber rapat dengan siasatan awal memberitahu AFP, walaupun Martin S. bertindak bersendirian, dia mempunyai kaitan dengan gerakan lebih besar yang terdiri daripada penyokong teori konspirasi berhaluan kanan.

Pendakwa raya berkata, tertuduh turut menggesa sumbangan mata wang kripto yang bertujuan dijadikan ganjaran bagi pembunuhan tersebut, namun mahkamah menyatakan tiada sebarang sumbangan demikian diterima.

Platform itu juga mengandungi data peribadi sensitif berkaitan individu yang berpotensi menjadi sasaran.

Jerman sebelum ini pernah membongkar beberapa rangkaian berhaluan kanan dan kumpulan berasaskan teori konspirasi yang disyaki merancang serangan terhadap institusi serta pemimpin negara itu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini