8 negara Islam kutuk Israel bertanggungjawab bakar 2 masjid di Tebing Barat - Utusan Malaysia

8 negara Islam kutuk Israel bertanggungjawab bakar 2 masjid di Tebing Barat

GAMBAR fail sebuah masjid dibakar di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Negara-negara majoriti Muslim termasuk kuasa besar serantau seperti Arab Saudi dan Turkiye pada Khamis menyatakan bahawa mereka menganggap Israel bertanggungjawab atas serangan membakar dua buah masjid di Tebing Barat, yang menurut pegawai Palestin telah dibakar oleh peneroka haram Yahudi.

Menteri-menteri luar Arab Saudi, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Indonesia, Pakistan, Mesir dan Turkiye mengecam keganasan berterusan dan yang semakin meningkat oleh para peneroka haram Yahudi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, sambil merujuk kepada dua masjid yang dibakar sehari sebelumnya.

“Dengan ini para menteri meletakkan tanggungjawab ke atas Israel,  sebagai kuasa pendudukan – terhadap serangan-serangan ini,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Pada Rabu, peneroka haram Yahudi  membakar masjid di kampung Jiljiliya, utara Ramallah, dan kampung jiran Mazari an-Nubani, menurut datuk bandar kedua-dua kawasan tersebut. Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat dinding yang hangus terbakar serta contengan grafiti.

Tentera Israel mengesahkan kejadian pembakaran dan vandalisme di kedua-dua masjid itu, namun tidak mengenal pasti pelakunya.

Wartawan AFP yang melawat salah sebuah masjid yang dibakar melihat grafiti dalam bahasa Ibrani diconteng pada dinding. Sebahagian daripadanya tertera ayat  ‘balas dendam’.

Insiden tersebut berlaku ketika serangan oleh peneroka haram Yahudi  terhadap komuniti Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel semakin meningkat sejak bermulanya perang Gaza pada tahun 2023. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×