TEHERAN: Iran pada Khamis menegaskan bahawa program peluru berpandunya tidak akan menjadi sebahagian daripada rundingan masa depan dengan Amerika Syarikat (AS), selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan satu perjanjian rangka kerja untuk menamatkan perang antara mereka.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Rabu di Perancis.,
Sementara itu di Iran, Presidennya, Masoud Pezeshkian menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Khamis, sekali gus menamatkan perang serantau yang tercetus pada 28 Februari susulan serangan AS dan Israel.
Perjanjian itu meletakkan asas bagi rundingan terperinci mengenai program nuklear Iran dan pengurangan sekatan terhadap Teheran.
Tiada sebarang rujukan mengenai program peluru berpandu Iran dalam perjanjian tersebut, walaupun isu itu sejak sekian lama menjadi kebimbangan Washington dan sekutunya, Israel.
“Peluru berpandu kami sama sekali tidak suka diperkatakan oleh sesiapa pun,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam wawancara dengan televisyen negara Iran.
“Peluru berpandu Iran adalah untuk dilancarkan, bukan untuk dirundingkan. Keupayaan pertahanan Iran tidak akan dibincangkan dalam apa jua cara, dalam apa jua proses atau dengan mana-mana pihak,” tambahnya.
Sepanjang perang hampir 40 hari itu, infrastruktur peluru berpandu Iran menjadi sasaran serangan hebat AS dan Israel, namun Teheran terus membalas dengan serangan peluru berpandu serta dron di seluruh rantau tersebut.
Sebelum perang bermula, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio telah memberi amaran bahawa Iran perlu berunding mengenai senjata peluru berpandu balistiknya, yang dianggap Washington sebagai ancaman kepada Israel dan pangkalan tentera Amerika di rantau itu.
Iran berulang kali menolak untuk membincangkan apa yang disifatkannya sebagai keupayaan pertahanannya. – AFP











