Komitmen jangka panjang Russia kepada Malaysia

Komitmen jangka panjang Russia kepada Malaysia

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Vladimir Putin semasa Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Russia-ASEAN Ke-35 di Kazan, Russia. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Russia memberi jaminan kerjasama jangka panjang bekalan tenaga dan minyak bersama Malaysia sebagai sebahagian hubungan strategik pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Komitmen itu dicapai menerusi pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kazan, Russia, kelmarin.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju meneroka mekanisme bersama bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan (Ringgit dan Ruble).

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.

“Perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan itu, kerajaan akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

Ini termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.

Sementara itu, Anwar ketika semasa temu bual bersama media Russia semalam memaklumkan, Malaysia dan ASEAN tidak berkecuali dalam menangani isu antarabangsa seperti konflik di Gaza kerana pendirian blok itu tetap berasaskan prinsip hak asasi manusia dan penolakan terhadap kekejaman.

Perdana Menteri berkata, ASEAN sebaliknya berpegang kepada konsep ASEAN Centrality yang membolehkan rantau itu mengekalkan hubungan dengan semua pihak tanpa terikat kepada mana-mana kuasa besar atau ideologi tertentu.

Katanya, pendekatan tersebut turut diguna pakai dalam isu Gaza, serangan terhadap Lubnan serta insiden lain yang melibatkan pencabulan hak asasi manusia.

“Ini bermakna kita tidak terikat dengan mana-mana pendirian ideologi atau kuasa besar tertentu, namun tetap menyatakan pendirian secara tegas berdasarkan prinsip hak asasi manusia, penyalahgunaan kuasa serta kekejaman terhadap golongan minoriti di mana-mana sahaja,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia mengambil pendirian bebas dalam hubungan antarabangsa termasuk ketika berdepan isu geopolitik membabitkan pelbagai negara.

Katanya, Malaysia turut menyuarakan pendirian terhadap serangan ke atas negara berdaulat serta menegaskan perkara itu perlu dilihat dari sudut prinsip asas hubungan antarabangsa.

“Malaysia terus terlibat dalam usaha diplomasi dengan pemimpin negara berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlaku,” katanya.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan dua hari di Kazan, ibu negara dan bandar terbesar Tatarstan, Russia atas jemputan Presiden Vladimir Putin bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×