PETALING JAYA: MyDigital ID dapat menjamin berlakunya kebocoran data peribadi kerana platform itu tidak menyimpan maklumat pengguna.
Sebaliknya ia hanya mengesahkan identiti melalui semakan terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi setiap akses atau transaksi digital.
Pelaksanaan platform juga dilihat dapat memperkukuh keselamatan siber negara dengan mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti digital yang semakin meningkat susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, MyDigital ID tidak berfungsi sebagai repositori atau tempat penyimpanan data peribadi.
Katanya, ia sebaliknya bertindak sebagai platform pengesahan identiti apabila sesuatu transaksi memerlukan pengesahan pengguna.
Menurutnya, setiap akses kepada sistem yang menggunakan MyDigital ID perlu melalui proses pengesahan identiti terlebih dahulu sekali gus mengurangkan risiko penyamaran dan penggunaan identiti palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“MyDigital ID tidak menyimpan maklumat peribadi pengguna. Sistem ini hanya membuat semakan identiti secara terus dengan pangkalan data JPN dan menghantar pengesahan bahawa identiti pengguna adalah sah.
“Melalui pengesahan identiti ini, ia dapat mengurangkan risiko berkaitan penyimpanan dan salah guna data peribadi hingga dimanipulasi penjenayah siber,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, selain penggunaan teknologi pengesahan identiti yang lebih selamat, pemahaman dan amalan asas keselamatan siber atau cyber hygiene dalam kalangan pengguna perlu terus diperkasakan.
Katanya, pengguna perlu mengamalkan langkah keselamatan seperti mengaktifkan pengesahan pelbagai faktor (MFA) dan mengelakkan daripada menekan pautan mencurigakan yang diterima melalui e-mel, pesanan ringkas atau media sosial.
Selain itu, jelasnya, Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan ini turut menjadi pemangkin dalam memperkukuh keselamatan siber negara.
“RUU itu bakal menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang tidak pernah dipinda hampir tiga dekad lalu bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dengan landskap ancaman siber semasa.
“Antara perkara yang diberi penekanan termasuk jenayah berkaitan penyalahgunaan identiti digital, penipuan siber serta penyebaran imej atau kandungan yang dijana menggunakan teknologi AI tanpa kebenaran,” katanya. – UTUSAN










