Tiada lagi ruang untuk kaki buli

Tiada lagi ruang untuk kaki buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JIKA orang dewasa takut kepada kanak-kanak, dunia akan musnah”.

Ini merupakan antara dialog watak Inspektor Na Hwa Jin yang popular sebagai Pegawai Penyiasat Utama Biro Perlindungan Hak Pendidikan (BPHP) dalam drama Teach You A Lesson, yang kini sedang ditayangkan di platform Netflix. Drama ini juga tular diperkatakan di media sosial.
Dalam drama ini Hwa Jin digambarkan sebagai seorang pegawai yang bertindak melindungi pelajar mahupun guru daripada ditindas atau dibuli oleh mana-mana pihak. Keberanian biro ini dalam mengambil tindakan terhadap pemangsa-pemangsa buli tanpa mengira status memuaskan hati penonton drama ini.

Siri kes yang diselesaikan oleh biro tersebut ada yang berlandaskan kes sebenar kejadian yang berlaku di Korea Selatan.

Keganasan di sekolah, buli yang secara langsung mahupun tidak langsung dan watak Kim Min-gyu yang meringkuk dalam penjara kerana membunuh pembulinya membawa mesej besar kesan jenayah ini sekiranya tidak ditangani dengan adil dan saksama.

Namun selepas drama ini ditayangkan ramai mengharapkan wujudnya ‘Hwa Jin’ dalam realiti dunia sebenar yang akan melindungi mangsa-mangsa buli di sekolah-sekolah termasuklah di Malaysia.

Saya pernah mengulas kedudukan perundangan berkenaan jenayah buli sebelum ini. 2025 menyaksikan pindaan seksyen 507B hingga seksyen 507D Kanun Keseksaan yang menjenayahkan buli.

 

PELANCARAN Tribunal Antibuli pada 16 Jun lalu membuktikan kesungguhan kerajaan membendung budaya buli dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

 

RUU ANTIBULI

Bertindak balas terhadap kes buli yang berlaku di sekolah-sekolah membawa kepada penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli.

Susulan itu, pada 16 Jun lalu Tribunal Antibuli (TAB) dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.

Pelancaran TAB ini juga dilakukan serentak dengan penguatkuasaan rasmi Akta Antibuli 2026 (Akta 876).

Pelancaran Akta 876 menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu buli apabila TAB ini dilancarkan kurang setahun selepas diluluskan Parlimen pada Oktober 2025.

Menurut Azalina, Akta 876 ini adalah mendesak susulan lebih 14,000 kes buli telah dilaporkan. Tribunal ini juga diwujudkan sebagai platform akses kepada keadilan yang lebih mudah, cepat dan mesra kanak-kanak selain mempunyai bidang kuasa sivil untuk menangani pertikaian buli.
Ini memandangkan Akta 876 menggariskan mangsa sebagai seorang kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun, pelajar tanpa mengira umur yang sedang belajar di institusi pendidikan dan kanak-kanak yang sedang ditahan, diberikan pemulihan dan perlindungan di institusi termasuk di Sekolah Henry Gurney.

Pada seksyen 3 Akta 876 ini memberikan takrifan kepada perilaku buli sebagai perbuatan yang disengajakan dan ditujukan kepada mangsa sama ada dilakukan secara berulang atau dalam suatu kejadian serius yang menyebabkan kemudaratan fizikal, psikologi atau sosial kepada mangsa.

Malah di sub-seksyen 3(2) menghuraikan lebih lanjut keadaan yang boleh dikatakan buli.

Akta 876 juga menerangkan dan menggariskan kewajipan institusi pendidikan untuk bertindak secara responsif dalam mengurus dan menangani kes buli yang berlaku di institusi masing-masing.

Kewajipan ini boleh dilihat di seksyen 7 Akta 876 yang antaranya mewujudkan saluran boleh diakses bagi membolehkan kanak-kanak melaporkan kes buli.

Akta 876 juga meliputi institusi di bawah Akta Pendidikan 1996, institusi pendidikan bawah Majlis Amanah Rakyat, institusi pendidikan bawah Kementerian Pertahanan dan institusi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Ini membolehkan Akta 876 diguna pakai secara meluas untuk perlindungan mangsa.

Bidang kuasa Tribunal yang diperuntukkan di bawah seksyen 29 Akta 876 memberikan Tribunal kuasa untuk mendengar dan menentukan aduan buli yang diadukan oleh mangsa atau ibu bapa mangsa.

Menariknya dalam tribunal ini, tiada peguam bela dan peguam cara hadir melainkan pada pendapat tribunal melibatkan isu perundangan yang kompleks. Ini memberikan peluang dan akses yang sama rata kepada pengadu dan pihak yang diadu.

Selain itu juga, antara perkara yang menarik adalah kuasa Tribunal untuk membuat ‘award’ yang lebih praktikal.

Seksyen 43 Akta 876 memberikan kuasa kepada tribunal yang antara lain boleh memberikan perintah kepada responden untuk mengeluarkan permohonan maaf kepada mangsa, perintah untuk responden menghapuskan apa-apa kandungan yang berkaitan buli yang dinaikkan di platform media sosial atau peranti elektronik atau penyimpanan digital.

Tribunal juga boleh memberikan perintah kepada ibu bapa dan penjaga responden untuk membayar balik mangsa apa-apa perbelanjaan munasabah yang ditanggung akibat buli tersebut.

Ini sudah pasti sedikit sebanyak akan menimbulkan rasa keinsafan responden, rasa tanggungjawab ibu bapa serta rasa selamat mangsa.

Tuntasnya mekanisme yang diwujudkan kerajaan menerusi Akta 876 perlu dimanfaatkan secara meluas.

Perbuatan buli ini bukan sahaja menjadi satu jenayah tetapi dikhuatiri menggoyah rasa yakin diri mangsa.

Lebih menakutkan mangsa pula menjadi pemangsa di masa akan datang sekiranya akar permasalahan tidak dirawat dari awal.

Sekolah perlu dirasai selamat oleh para penghuninya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah seorang pengamal undang-undang, ahli jawatankuasa Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil (MACSA) dan Pengarah Pusat Penyelidikan & Kajian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×