Perkhidmatan Rahsia AS uji aplikasi imbas wajah bendung ancaman

Perkhidmatan Rahsia AS uji aplikasi imbas wajah bendung ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) mula menggunakan aplikasi telefon bimbit pengimbas wajah yang serupa dengan alat digunakan oleh ejen imigresen persekutuan selama beberapa bulan untuk mengenal pasti individu sebagai sebahagian daripada usaha pengusiran besar-besaran.

Perkhidmatan Rahsia membuat perjanjian untuk menggunakan teknologi itu pada Mei dan baru-baru ini melaksanakannya kepada sekumpulan kecil pegawai berpakaian seragam, menurut pegawai agensi serta dokumen kerajaan yang diterangkan kepada Bloomberg News.

Seperti alat yang digunakan oleh ejen imigresen, aplikasi baharu Perkhidmatan Rahsia itu yang dikenali sebagai Sentry menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mengenal pasti individu.

Seorang pegawai yang menggunakan aplikasi itu akan mengimbas wajah atau cap jari seseorang menggunakan kamera telefon mereka, dan aplikasi tersebut akan membandingkan imej itu dengan kandungan pangkalan data kerajaan, kata para pegawai berkenaan.

Perjanjian tersebut menunjukkan bagaimana agensi yang bertanggungjawab melindungi pemimpin kerajaan kini mendapatkan bantuan teknologi canggih dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keganasan politik.

Ia juga menandakan penggunaan meluas alat pengecaman wajah oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, yang sebelum ini menerima kritikan daripada pihak yang memperjuangkan privasi.

Sebagai respons kepada soalan mengenai aplikasi itu, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Rahsia, Matthew Quinn berkata, agensi tersebut menyiasat 40 peratus lebih banyak ancaman pada 2026 berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, serta hampir 10 kali ganda lebih banyak intervensi terhadap individu yang mungkin mengalami masalah kesihatan mental.

“Trend ini menekankan keperluan untuk penguatkuasaan undang-undang di semua peringkat bagi mengguna pakai pendekatan yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh, yang memanfaatkan teknologi baharu serta keupayaan penilaian ancaman moden untuk mengenal pasti dan mengurangkan risiko sebelum ia meningkat.

“Pada masa yang sama, usaha ini mesti diseimbangkan dengan komitmen untuk melindungi privasi, kebebasan sivil dan keselamatan maklumat,” kata Quinn dalam kenyataan emel.

Sebagai contoh, pegawai Perkhidmatan Rahsia yang menggunakan aplikasi pengecaman wajah itu kebanyakannya dikehendaki mendapatkan persetujuan seseorang terlebih dahulu, menurut seorang pegawai agensi yang bercakap dengan syarat tidak dikenal pasti.

Setakat ini, hanya 25 pegawai polis Perkhidmatan Rahsia yang berpangkalan di Washington dilengkapi dengan aplikasi pengecaman wajah tersebut, sebagai sebahagian daripada program percubaan untuk menilai sama ada ia boleh digunakan secara lebih meluas bagi membantu menyiasat dan mencegah ancaman.

Berbeza dengan ejen berpakaian sut gelap yang menjaga Presiden dengan rapat, pegawai ini memakai uniform dan kebanyakannya bertugas melindungi bangunan kerajaan, termasuk kedutaan asing dan Rumah Putih.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×