PETALING JAYA: Ibu bapa murid prasekolah bimbang terhadap masa depan anak-anak mereka apabila memasuki alam persekolahan berikutan kegagalan menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang merupakan asas kepada proses pembelajaran seterusnya.
Mereka berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dilaksanakan kini dilihat tidak berkesan terhadap mereka yang dalam peringkat umur itu kerana murid tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajaran guru.
Walaupun guru melakukan pelbagai kaedah pengajaran yang menarik, murid hanya mampu fokus selama 10 minit sahaja sepanjang sejam sesi pembelajaran berlangsung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja swasta, Sharaimie Shaik Ahmedullah, 37, mengakui anaknya yang berusia lima tahun tidak memberikan tumpuan sewaktu PdPR sehingga dia perlu memantau sepanjang sesi pembelajaran itu berlangsung.
Katanya, peranti bukan satu isu tetapi masalah untuk fokus dan berinteraksi dengan guru merupakan cabaran paling besar bagi anaknya.
“Dia hanya dapat beri fokus 10 minit sahaja, selebihnya berlari-lari ke sana sini. Itu memang sifat semulajadi kanak-kanak. Jadi saya kena pantau dia setiap masa. Sekarang memang boleh sebab saya bekerja di rumah tetapi bagaimana apabila saya kembali ke pejabat kelak,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pada tahun lalu sebanyak 208,131 murid prasekolah di seluruh negara berdaftar dengan Kementerian Pendidikan manakala tahun ini sebanyak 207,224 murid berdaftar, selain 254,268 orang di tadika swasta.
Berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 30 guru prasekolah dan tadika swasta sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka mengakui sehingga bulan ini, kira-kira 70 peratus murid mereka belum menguasai kemahiran 3M.
Memandangkan tahun ini adalah tahun kedua pandemik Covid-19 melanda, ini bermakna sudah ada dua generasi murid prasekolah yang dikhuatiri akan mengalami buta huruf.
Dalam pada itu, kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai Suhana, 37, berkata, walaupun guru tadika berusaha memberikan yang terbaik sewaktu PdPR, namun tumpuan kanak-kanak menjadi kekangan utama.
Justeru, dia mengambil inisiatif memberikan latihan yang menekankan aspek membaca dan mengira dengan pemantauannya sendiri.
“Saya risau jika anak tidak dapat menguasai 3M sebelum masuk tahun satu, oleh itu saya harap tadika dapat dibuka segera memandangkan kaedah bersemuka adalah lebih baik berbanding PdPR,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tadika Johor, Fadilah Omar mengakui terdapat murid-murid tidak menguasai 3M dengan baik meskipun guru-guru tadika melakukan pelbagai kaedah menarik untuk meningkatkan pengajaran mereka.
Beliau berkata, pihaknya juga melakukan kelas berskala kecil atau bimbingan secara individu terhadap murid-murid yang masih lemah.
“Kita akui kekangan yang dihadapi mereka, ada keluarga tiga anak yang hanya satu peranti sahaja, terpaksa berkongsi.
“Kaedah terbaik untuk mengatasi keciciran murid-murid adalah belajar secara bersemuka. Kita faham ada kebimbangan penularan Covid-19, tetapi ia mungkin boleh dilakukan ikut syif bagi mengurangkan kehadiran dalam satu kelas,” katanya.
Beliau juga mengharapkan ibu bapa membantu anak-anak mereka untuk menguasai 3M dengan memberikan latihan atau permainan yang sesuai. -UTUSAN










