PETALING JAYA: Kumpulan Fei Siong melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia dengan memperkenalkan jenama makanan jalanan Cina berkonsepkan halal, Encik Tan menerusi pembukaan cawangan sulung di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang SkyPark).
Langkah strategik ini diambil bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap variasi makanan jalanan Cina yang boleh dinikmati oleh masyarakat Muslim di negara ini tanpa was-was, sekali gus memacu standard integriti halal dalam pasaran segmen makanan kasual tempatan.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Fei Siong, Tan Kim Siong berkata, pembukaan cawangan di Malaysia ini memperkukuh portfolio antarabangsa syarikat selepas berjaya mengendalikan 21 cawangan di Singapura dan satu di Jakarta yang menekankan pematuhan pasaran mesra Muslim.
“Kami mahu membawakan aneka rasa hidangan jalanan Cina yang diwarisi turun-temurun dengan jaminan kualiti yang bersih dan selamat. Melalui langkah sulung di Subang SkyPark ini, kami merintis pelan pengembangan cawangan halal yang lebih agresif di bandar-bandar utama seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur,” katanya.
Bagi memastikan kawalan rantaian bekalan makanan yang utuh, Encik Tan turut menjalin kerjasama strategik bersama Bake With Yen (BWY) iaitu peruncit bekalan pembuatan makanan terbesar di Malaysia yang mempunyai rangkaian logistik luas serta pengalaman lebih tiga dekad.
Mengulas mengenai status kepatuhan, pihak pengurusan mengesahkan bahawa premis seluas 1,800 kaki persegi itu kini sedang dalam fasa akhir proses permohonan pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Walau bagaimanapun, aspek jaminan keselamatan makanan telah dilaksanakan sepenuhnya iaitu keseluruhan menu disediakan menggunakan ramuan dan bahan mentah yang disahkan halal, bagi menyuntik keyakinan mutlak kepada pengguna Muslim yang mementingkan kemudahan makanan jalanan seharian.
“Antara menu popular yang ditawarkan termasuklah Nasi Kari Kepingan Ayam serta Mi Bebola Ikan yang mencatat rekod jualan mencecah 10 juta mangkuk sejak jenama ini ditubuhkan pada 2014,” katanya.
Para pelanggan juga boleh menikmati aneka juadah klasik lain seperti Mi Udang Hokkien, Nasi Claypot Ayamdan Mi Istimewa dengan harga yang berpatutan.
Bagi perancangan jangka masa panjang, syarikat menyasarkan pengembangan meluas ke seluruh Asia Tenggara, Australia, dan United Kingdom, termasuk rancangan menembusi pasaran produk sedia dimakan (RTE) halal pada masa hadapan. – UTUSAN










