PETALING JAYA: Dana kekayaan berdaulat Singapura, GIC Pte. Ltd. (GIC), membeli 16 peratus kepentingan Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd. (Sunway Healthcare) dengan nilai sebanyak RM750 juta.
Urus niaga yang menilai Sunway Healthcare pada kira-kira RM4.7 bilion, dibuat atas asas kesediaan pembeli dan penjual susulan penilaian cadangan daripada pelbagai dana pelaburan domestik dan antarabangsa,
dana pelaburan kerajaan dan firma ekuiti swasta.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan GIC ke dalam segmen perniagaan penjagaan kesihatan milik Sunway itu membuktikan keyakinannya terhadap ekonomi Malaysia dan Sunway Group.
“Ia turut membuktikan prestasi terbaik Sunway dalam industri berkenaan serta potensi besar sektor penjagaan kesihatan di negara ini.
“Berdasarkan Fitch Solutions Macro Research, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka meningkat 127 peratus kepada RM127.9 bilion pada 2027 berbanding RM56.3 bilion pada 2017,” katanya sempena pemeteraian pembelian kepentingan oleh GIC dalam Sunway Healthcare yang diadakan secara maya, semalam.
Jelas Perdana Menteri, kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang telah lama wujud dan disokong oleh doktor berpengalaman dan diiktiraf antarabangsa dengan kakitangan perubatan terlatih, telah menjadikan negara antara destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah menyifatkan ia satu pencapaian penting buat Sunway setelah meraih minat luar biasa daripada pelabur domestik dan antarabangsa.
Ujarnya, pelaburan itu juga akan membantu syarikat mempercepatkan pengembangan kemudahan perubatannya termasuk membina hospital baharu.
“Selepas proses penilaian menyeluruh, saya yakin untuk mengumumkan kerjasama ini dengan GIC.
“Saya juga yakin usaha sama itu akan meningkatkan lagi nilai Sunway Healthcare dan merealisasikan sepenuhnya potensi perniagaan penjagaan kesihatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sunway Healthcare, Lau Beng Leong berkata, penyertaan GIC akan menyokong pengembangan hospital, pembinaan hospital baharu dan perniagaan penjagaan kesihatan sampingan syarikat di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya juga bercadang menyenaraikan syarikat dalam tempoh enam hingga lapan tahun lagi.
Melalui usaha sama itu, Sunway Healthcare akan menjadi kumpulan penjagaan kesihatan bersepadu terkemuka dengan rangkaian hospital dan perkhidmatan di Malaysia dan Singapura.
Ketika ini, Sunway Healthcare mengendalikan dua hospital tertiari dengan gabungan kapasiti melebihi 800 katil dan lebih 400 pakarunding.
Langkah itu dijangka meningkatkan kapasiti sedia ada kepada hampir 3,000 katil dalam tempoh beberapa tahun.
GIC mempunyai rekod prestasi yang mantap dalam sektor berkaitan kesihatan dan penjagaan kesihatan di peringkat global dengan pelaburan awam dan swasta di Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Filipina, China dan Vietnam. – UTUSAN










