MFM sasar lubuk halal global menerusi segmen RTE

MFM sasar lubuk halal global menerusi segmen RTE

ANTARA produk makanan sedia dimakan (RTE) iaitu Sate Ayam, Ayam Kam Heong dan Ayam Masak Kicap keluaran bersama MFM dan Dinding’s.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malayan Flour Mills Berhad (MFM) melihat pengembangan produk segmen makanan sedia dimakan (RTE) sebagai platform strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan industri halal global dan peningkatan permintaan makanan segera halal dalam kalangan pengguna moden.

Rangkaian produk makanan sedia dimakan yang dibangunkan menerusi operasi pemprosesan utama Dindings Poultry Processing Sdn. Bhd. menampilkan empat hidangan berasaskan protein tinggi yang boleh dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro iaitu sate arang autentik, ayam masak merah, ayam kicap dan ayam Kam Heong.

Timbalan Pengerusi Executif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, produk berkenaan menyasarkan pengguna moden yang mementingkan kemudahan, keselamatan makanan, akses nutrisi serta pematuhan halal.

“Bagi MFM, halal bukan lagi sekadar pematuhan tetapi asas kepada keseluruhan operasi kumpulan. Perubahan gaya hidup pengguna, termasuk peningkatan golongan berpendapatan pertengahan serta kekangan masa memasak, terus menyokong permintaan terhadap makanan segera berkualiti,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-66 kumpulan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan Kerajaan MFM, Azhari Arshad berkata, pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf sebagai penanda aras global memberi kelebihan besar kepada syarikat untuk memperluaskan penawaran makanan siap dimakan ke pasaran antarabangsa.

“Halal kini bukan hanya berkait pematuhan agama, tetapi turut dilihat sebagai standard makanan yang bersih, lebih diyakini dan berkualiti. MFM ketika ini turut memperluaskan kapasiti pemprosesan, termasuk menggandakan keupayaan pengeluaran bagi memenuhi peningkatan permintaan pasaran halal domestik dan antarabangsa.

“Portfolio RTE itu dibangunkan untuk pasaran tempatan dan luar negara, selaras dengan trend label bersih serta piawaian regulatori global, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pengeluaran makanan halal berkualiti tinggi dunia,” katanya. 

Tambahnya, Malaysia ketika ini mengimport kira-kira RM72 bilion makanan setahun dengan lebih RM20 bilion dieksport semula, menggambarkan kebergantungan tinggi terhadap bekalan makanan global serta risiko gangguan rantaian bekalan.

“Peranan MFM bukan sekadar menjual tepung atau ayam, tetapi memastikan produk asas seperti roti dan ayam kekal tersedia pada harga kompetitif kepada pengguna,” tambahnya.

Dalam aspek perolehan bahan mentah, MFM menekankan kepakaran dalam sumber bijirin global, termasuk strategi menentukan lokasi dan masa terbaik pembelian bagi mengurus risiko harga serta kestabilan bekalan.

Operasi serantau MFM kini meliputi Vietnam dan Indonesia dengan kapasiti pengilangan gandum gabungan kira-kira 10,000 tan metrik sehari, manakala pengeluaran tepung di Vietnam sahaja melebihi 700,000 tan metrik setahun.

Bagi segmen integrasi ayam, MFM memanfaatkan teknologi Industri 4.0 termasuk sistem kawalan iklim dan penternakan tepat bagi meningkatkan kecekapan operasi serta standard kebajikan haiwan.

Menerusi usaha sama dengan Tyson Foods Inc. melalui Dindings Tyson Sdn. Bhd., kumpulan itu memiliki kapasiti pengeluaran sehingga 400,000 ekor ayam sehari bagi memenuhi permintaan protein domestik yang stabil.

Kumpulan itu turut memperoleh bekalan bijirin makanan ternakan melalui Premier Grain Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat usaha sama dengan Toyota Tsusho Corporation Group, bagi memastikan bekalan input ternakan berkualiti tinggi sentiasa konsisten.

Bagi memperkukuh rantaian berkenaan, pelaksanaan Halal Assurance System (HAS) di dalam Kumpulan MFM bermula dengan komitmen penuh pihak pengurusan tertinggi bagi menjamin integriti halal produk, bermula daripada fasa penerimaan bahan mentah sehinggalah kepada penghantaran barangan siap kepada pelanggan.

Langkah ini disokong oleh tiga Jawatankuasa Halal Dalaman (IHC) yang ditubuhkan di MFM Lumut, MFM Pasir Gudang dan kilang pemprosesan ayam di Lumut. 

Selain itu, MFM dan Dindings Poultry Processing Sdn. Bhd. turut mengguna pakai Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan (FSMS) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta prinsip Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) untuk operasi pengilangan tepung dan pemprosesan ayam.

Reka bentuk kilang kumpulan juga dibina secara khusus bagi mengurangkan dan meminimumkan sebarang risiko pencemaran silang makanan, sekali gus menghapuskan unsur kontaminasi daripada bahan bukan halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN