MEXICO CITY: Kumpulan guru yang mengadakan demonstrasi bertindak menumbangkan beberapa arca gergasi yang memaparkan figura pemain bola sepak di persiaran utama Mexico City.
Ia sebagai amaran untuk melancarkan protes yang lebih besar menjelang saingan Piala Dunia sekiranya pihak kerajaan terus gagal memenuhi tuntutan kebajikan pekerja mereka.
Kumpulan penunjuk perasaan daripada sayap penentang kesatuan guru kebangsaan, CNTE menggerakkan protes berkenaan dan kini mengancam untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran pada majlis pembukaan kejohanan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 11 Jun ini.
Sebelum kejadian, arca plastik setinggi lima meter yang mewakili pemain bola sepak dari seluruh dunia itu diletakkan di sepanjang laluan Paseo de la Reforma, sebuah kawasan tumpuan yang dikelilingi bangunan pencakar langit.
Kumpulan perusuh terbabit bertindak merebahkan tiga buah arca menggunakan tali, sebelum menanggalkan jersi yang dipasang pada patung berkenaan lalu membakarnya.
Kesan vandalisme turut dikesan pada patung-patung terbabit menerusi tulisan grafiti berwarna merah yang antaranya berbunyi ‘Hidup CNTE’ dan ‘Jika tiada penyelesaian, bola tidak akan bergolek’.
Sehari sebelum itu, pihak polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata serta bom bunyi bagi menyuraikan perarakan kumpulan terbabit berhampiran dataran terkenal Zócalo yang sepatutnya menjadi lokasi penganjuran acara ‘Fan Fest’ sempena Piala Dunia.
Susulan ancaman yang semakin meningkat, pihak berkuasa dilapor masih menutup kawasan dataran berkenaan menggunakan penghadang besi pada Selasa.
Ketegangan ini berpunca daripada tuntutan sayap penentang CNTE yang mendesak kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 100 peratus, selain menyatakan bantahan keras terhadap pelan reformasi pencen yang dicadangkan.
Pihak mereka sebelum ini bertindak menolak tawaran kenaikan gaji sebanyak sembilan peratus yang telah dipersetujui oleh kerajaan bersama kepimpinan rasmi kesatuan terbabit.
Insiden protes yang tercetus pada Selasa itu menyebabkan beberapa laluan utama di ibu negara ditutup sepenuhnya, sekali gus memburukkan lagi keadaan kesesakan lalu lintas yang sedia ada.
Meskipun kumpulan penunjuk perasaan terbabit bertindak merobohkan arca yang mewakili pasukan Belgium, Perancis dan Sepanyol, namun sebuah patung yang menyarung jersi skuad kebangsaan Mexico dilaporkan terselamat dan masih berdiri teguh di lokasi berkenaan. -AFP










