PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam perbincangan untuk memperkenalkan mekanisme kutipan daripada levi hiburan bagi membantu memperkukuh dana pembangunan industri filem tempatan.
Korea Selatan telah melaksana kutipan levi wajib sebanyak tiga peratus bagi setiap harga tiket pawagam yang disalurkan ke dalam Tabung Pembangunan Filem negara itu bagi menyokong perkembangan industri perfileman tempatan.
Jika dipraktikkan, pelaksanaannya dapat menyediakan sumber dana berterusan kepada industri filem tempatan dan memperkukuh daya saing industri di peringkat serantau dan antarabangsa, melibatkan kira-kira 170 hingga 200 syarikat produksi aktif di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, cadangan itu mengambil contoh pendekatan di Korea Selatan dan beberapa negara lain yang menyalurkan sebahagian kecil kutipan hiburan ke tabung pembangunan filem tempatan.
“Kita melihat pendekatan seperti ini boleh diterapkan dan di Malaysia juga. Bukan hanya Korea Selatan, negara lain seperti Perancis dan Kanada juga sudah laksana perkara sama.
“Mereka meletakkan levi atau cukai tertentu terhadap tayangan filem dan sebahagian kutipan itu dimasukkan ke dalam tabung pembangunan filem tempatan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kompleks Studio Merdeka, Ampang.
Menurut Azmir, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan kerana pelbagai aspek perlu diperhalusi.
“Kita sudah ajukan perkara ini dan berbincang dengan pihak lembaga pengarah. Mereka bersetuju supaya perbincangan diteruskan bersama kementerian dan pihak berkaitan.
“Kita mahu pastikan semua sudut dibincang dengan teliti supaya pelaksanaannya nanti tidak membebankan mana-mana pihak,” ujarnya.
Tambah beliau, FINAS juga perlu mengambil kira cabaran semasa industri perfileman termasuk perubahan corak tontonan penonton yang kini lebih tertumpu kepada platform penstriman digital. – UTUSAN











