Membanteras rasuah perlukan keyakinan bersama demi integriti

Membanteras rasuah perlukan keyakinan bersama demi integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAPA begitu banyak program antirasuah di seluruh dunia sering dilihat gagal mencapai matlamat sebenar?

Persoalan ini bukan sahaja dibincangkan dalam kalangan masyarakat, malah turut menjadi perhatian sarjana dan organisasi antarabangsa sejak sekian lama. Walaupun pelbagai inisiatif besar diperkenalkan, namun kejayaan yang dicapai masih dianggap terbatas.

Sarjana politik, Bo Rothstein, dalam bukunya Controlling Corruption: The Social Contract Approach menegaskan dunia hanya menyaksikan sedikit kejayaan yang benar-benar bermakna dalam usaha memerangi rasuah. Sebaliknya, rasuah terus bertahan dalam pelbagai bentuk dan disesuaikan dengan sistem sosial, ekonomi serta politik sesebuah negara.

Menurut Rothstein, kegagalan berpunca daripada beberapa faktor utama. Pertama, pendekatan antirasuah yang digunakan selama ini terlalu bergantung kepada teori ejen-prinsipal, iaitu andaian masalah rasuah boleh diselesaikan hanya melalui pengawasan dan hukuman. Pendekatan tersebut gagal memahami sifat sebenar rasuah yang lebih kompleks dan berakar dalam sistem sosial.

Kedua, konsep rasuah sering dibincangkan tanpa menekankan nilai lawannya, iaitu integriti dan kepercayaan awam. Akibatnya, usaha memerangi rasuah hanya tertumpu tindakan menghukum pesalah tanpa membina budaya amanah dalam masyarakat.

Ketiga, rasuah sering dianggap semata-mata sebagai masalah budaya atau kelemahan undang-undang. Hakikatnya, banyak negara yang berdepan kadar rasuah tinggi sebenarnya memiliki undang-undang antirasuah yang baik. Ini membuktikan kewujudan undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa komitmen politik, integriti institusi dan sokongan masyarakat.

Usaha membanteras rasuah terus diperkukuh dari semasa ke semasa. Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhenti memperbaiki sistem, memperkukuh kerangka perundangan serta meningkatkan keupayaan modal insan bagi memastikan negara bergerak ke arah tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes berprofil tinggi didedahkan dan dibawa ke mahkamah. Tindakan siasatan, tangkapan dan pendakwaan membuktikan penguatkuasaan sedang berjalan secara aktif dan lebih tegas.

Kita sewajarnya melihat perkembangan ini dari sudut yang lebih positif. Keupayaan SPRM membongkar kes besar melibatkan pelbagai pihak di sektor awam dan swasta menunjukkan institusi tersebut semakin berani, profesional dan berkesan dalam menjalankan amanah.

Transformasi besar dalam usaha antirasuah negara bermula sejak era Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pada 2004, beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia dan memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN). Kemudian, pada 2009, Badan Pencegah Rasuah dinaik taraf menjadi SPRM sebagai sebuah institusi bebas yang lebih kukuh dan berwibawa.

Hari ini, hasil pelaburan jangka panjang dalam aspek penguatkuasaan, latihan, teknologi dan tadbir urus mula menunjukkan kesan yang lebih jelas. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 juga bertambah baik apabila negara naik ke tangga ke-54 dunia berbanding ke-57 tahun lalu.

Malaysia mencatat skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata pada 2024 dan 2023. Peningkatan ini memberi gambaran usaha memperkukuh integriti negara mula mendapat pengiktirafan.

Kita perlu memahami kejayaan membawa perasuah ke muka pengadilan bukan tanda kegagalan negara, sebaliknya bukti sistem penguatkuasaan sedang berfungsi. Perjuangan membanteras rasuah bukan tugas SPRM semata-mata tetapi memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira kedudukan, latar belakang atau fahaman politik.

Masyarakat perlu memberikan keyakinan dan sokongan moral kepada SPRM serta menghargai komitmen pegawai dan kakitangannya yang terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Perjalanan membina negara bebas rasuah sememangnya panjang dan mencabar, namun usaha itu mesti diteruskan secara konsisten.

Malaysia harus dikenali sebagai negara berintegriti tinggi dan bebas rasuah, bukannya negara yang dibayangi budaya penyelewengan. –UTUSAN

 

DATUK Seri Dr. Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan bekas Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×