KUALA LUMPUR: Tuntutan harta sepencarian selepas bercerai yang tertangguh lebih 10 tahun merupakan antara dilema dialami umat Islam di negara ini berikutan penangguhan kes di mahkamah syariah.
Isu kelewatan penyelesaian kes di mahkamah syariah bukan perkara baharu khususnya melibatkan tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan nafkah.
Situasi itu menimbulkan kesukaran kepada pihak terlibat terutamanya golongan ibu tunggal dan anak-anak, seterusnya menafikan hak mereka untuk memperoleh keadilan dalam tempoh munasabah.
Seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Mariah, 59, berkongsi pengalaman berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas bercerai dengan bekas suami pada 2010.
Usahawan itu berkata, sejurus perceraian berlaku, dia memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan melibatkan aset yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan.
Katanya, prosiding yang bermula sejak 14 tahun lalu hanya selesai pada 2024 apabila hakim syarie memutuskan dirinya berhak menerima 35 peratus daripada keseluruhan harta dipertikaikan yang mencecah jutaan ringgit.
“Dalam tempoh perbicaraan yang panjang itu, berlaku pertukaran peguam sebanyak lima kali di pihak saya selaku plaintif dan tiga kali di pihak bekas suami sebagai defendan.
“Malah, hakim yang mengendalikan prosiding juga silih berganti sehingga empat kali sebelum keputusan akhir dapat dibuat.
“Banyak kos, masa dan pengorbanan dilakukan sepanjang melalui proses litigasi syariah yang begitu panjang dan memenatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Rosnah, 43, meluahkan kekecewaannya apabila kes didaftarkan sejak Oktober 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, Kelantan belum selesai akibat penangguhan berulang kali.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia memfailkan tuntutan hak penjagaan anak terhadap bekas suami yang bertugas sebagai anggota badan beruniform bagi memastikan kelangsungan nafkah untuk cahaya matanya terjamin.
“Bayangkan, sudah hampir tiga tahun perbicaraan berlangsung, namun sehingga kini belum ada keputusan. Bekas suami pula kerap tidak hadir ke mahkamah semasa prosiding, sekali gus menyebabkan penangguhan berulang.
“Peguam saya sendiri terpaksa menyampaikan notis kehadiran ke mahkamah kepada bekas suami, namun usaha itu gagal berikutan pelbagai kerenah birokrasi di tempat dia bertugas.
“Saya amat kecewa apabila peguam terpaksa bertindak bersendirian, sedangkan mahkamah sepatutnya boleh mengambil langkah lebih proaktif, seperti mengeluarkan waran tangkap bagi memastikan kehadirannya,” katanya.
Daripada sisi golongan lelaki, Osman, 38, (bukan nama sebenar) berkongsi pengalaman di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu, Terengganu apabila permohonan hak penjagaan anak yang difailkan sejak 2023 terhadap bekas isteri turut berdepan penangguhan sehingga kini.
Menurutnya, kes tersebut pernah ditangguhkan selama empat bulan pada 2024 disebabkan kerosakan lantai bilik bicara mahkamah.
“Sehingga kini, kes belum selesai kerana masih di peringkat perbicaraan.
“Pernah juga prosiding ditangguhkan kerana hakim syarie yang mengendalikan kes perlu menghadiri program tertentu, menyebabkan tarikh baharu hanya dapat ditetapkan selepas dua hingga tiga bulan,” katanya.
Nukman, 36, (bukan nama sebenar), turut meluahkan keletihan berdepan kerenah birokrasi di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berhubung kes tuntutan nusyuz terhadap bekas isteri yang difailkan sejak 2023.
“Sudah tiga tahun berlalu, namun sehingga kini belum ada tarikh keputusan walaupun sesi perbicaraan telah selesai.
“Antara alasan yang diberikan adalah pertukaran hakim yang mengendalikan prosiding tersebut sedangkan sudah setahun alasan sama diberikan,” kata pekerja swasta itu. – UTUSAN










