WASHINGTON: Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelepasan 53.3 juta tong minyak daripada Rizab Petroleum Strategik (SPR) pada Isnin.
Ia bertujuan untuk dipinjamkan kepada syarikat-syarikat tenaga, sebagai sebahagian daripada usaha global menstabilkan harga minyak susulan perang AS-Israel dengan Iran.
Pengeluaran terbaru itu adalah sebahagian daripada komitmen lebih besar Amerika untuk menambah 172 juta tong minyak ke pasaran global.
Janji tersebut, yang diumumkan pada Mac sebagai sebahagian daripada inisiatif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) melibatkan lebih 30 negara, bertujuan menambah kira-kira 400 juta tong minyak ke pasaran dunia.
Penutupan Selat Hormuz oleh Iran, laluan perairan penting yang sebelum konflik membawa 20 peratus bekalan minyak dan gas asli dunia, telah menyebabkan harga minyak meningkat serta mencetuskan tekanan inflasi terhadap ekonomi global.
Harga minyak mentah meningkat sekitar 45 peratus sejak perang bermula pada 28 Februari lalu.
Setakat ini, kira-kira 35 juta tong minyak telah disalurkan ke pasaran daripada SPR, menurut jabatan tenaga itu.
SPR merupakan lokasi simpanan minyak mentah kecemasan terbesar di dunia. Rizab itu dikekalkan oleh kerajaan persekutuan sejak 1975 bagi membantu melindungi ekonomi AS daripada gangguan besar terhadap bekalan petroleum.
Walaupun beberapa pengeluar termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah menemui laluan alternatif untuk eksport mereka, sekitar 10 hingga 12 juta tong minyak mentah sehari masih tersekat daripada memasuki pasaran global, menurut penganalisis. – AFP










