Tuntut harga lantai RM3,000, pesawah bukan berjihad untuk miskin

Tuntutan harga lantai RM3,000, pesawah bukan berjihad untuk miskin

Pengerusi NGO PeSAWAH, Abdul Rashid Yob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PADI merupakan tanaman nombor satu negara, namun hakikat yang terpaksa ditelan golongan pesawah yang bertungkus-lumus menghasilkan beras adalah pendapatan mereka tidak pernah terjamin. Malah antara golongan yang dikaitkan dengan kemiskinan.

Tekanan kos yang semakin menghimpit, ketidaktentuan cuaca serta pelaksanaan dasar yang dilihat belum menyeluruh terus membelenggu nasib pesawah. Dalam keadaan kadar sara diri (SSR) beras masih di bawah paras selamat, kebimbangan terhadap jaminan bekalan makanan negara semakin ketara.

Situasi itu mendorong pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PeSAWAH memperhebat desakan kepada kerajaan agar tampil dengan penyelesaian lebih konkrit, termasuk menaikkan harga lantai padi kepada RM3,000 per tan metrik.

Wartawan Utusan Malaysia, MUHAMAD AIMY AHMAD menemubual pengerusinya, ABDUL RASHID YOB bagi mendapatkan gambaran sebenar isu yang dihadapi golongan pesawah ketika ini.

UTUSAN: Apa realiti dihadapi petani hari ini?
ABDUL RASHID: Beban yang kami tanggung sudah tidak mampu dihadapi, khususnya apabila kos meningkat lebih 50 peratus melibatkan penggunaan mesin padi dan traktor. Ini memberi kesan besar kepada keseluruhan operasi penanaman.

Hari ini kita bercakap tentang realiti sebenar di lapangan. Lebih 80 peratus jentera pesawah bergantung kepada diesel. Bila kos diesel meningkat, semua kos lain turut naik. Kita bukan minta lebih-lebih, tapi kita minta kerajaan lihat beban sebenar yang kita tanggung.

Untuk hasilkan satu kilogram (kg) padi, kosnya sekitar RM1.50 yang bermaksud satu tan metrik RM1,500.

Jumlah itu sama harga semasa padi, jadi di mana petani nak untung walaupun ia belum masuk subsidi RM500 per tan metrik diberikan kerajaan melalui Skim Subsidi Harga padi (SSHP). Maksudnya, kita buat bendang ini berjihad untuk miskin sahaja kerana tiada apa di hujungnya.

Kami tanam padi tetapi orang letak harga kepada kami.

Kami tidak jadi tuan beras, tidak jadi tuan padi sedangkan dalam tanaman ini kita ada pelbagai agensi, kita ada Akta 522 yang sepatutnya pesawah terbela dan jadi petani moden serta maju tapi malangnya kita ketinggalan daripada Thailand, Filipina dan Indonesia sebab ekosistem kita tidak betul.

Berapa kenaikan ditanggung sekarang?
Saya ambil dua perkara sahaja iaitu kos pembajakan dan penuaian. Pembajakan daripada RM120 semasa penyasaran diesel pada 2024 naik kepada RM180 hingga RM200 serelung atau 0.29 hektar untuk satu pusingan, ia sekitar 66 peratus kenaikan.

Kos penuaian pula daripada RM180 per relung ada yang naik sehingga RM240 ke RM250 dan untuk keluasan satu hektar bersamaan RM870 di mana kenaikan sehingga 38 peratus.

Kenaikan kedua-dua kos itu sahaja menyebabkan kami hadapi peningkatan kos keseluruhan sebanyak 52.78 peratus. Kita tidak kira lagi kos lain yang difahamkan kos baja akan naik, kos racun, semua akan naik tapi petani masih di tahap ini.

Kalau harga padi masih RM1,500 dan beras nak kekal RM2.60 sekilogram adilkah untuk pesawah. Adakah kita nak petani terus begini.

Kerajaan salur bantuan, adakah tidak mencukupi?
Kita bersyukur dan berterima kasih atas bantuan-bantuan yang disampaikan antaranya Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) yang kini berjumlah RM300 sehektar, Insentif Penuaian Padi (IPP) RM50 sehektar dan bantuan-bantuan lain serta terbaharu pendahuluan pembajakan RM200.

Tetapi ia bukan penyelesaian menyeluruh, cuma jangka pendek. Hakikatnya bantuan sekitar RM300 untuk pembajakan tidak mampu menampung kos sebenar yang kami hadapi, lebih-lebih lagi selepas penyasaran diesel dilaksanakan pada 2024.

Kini dengan tambahan krisis tenaga global, menyebabkan harga diesel meningkat. Walaupun harga semasa turun sedikit kepada RM5.12 seliter, pesawah tidak menikmati subsidi sepenuhnya, jadi kos operasi terus melonjak.

Pesawah ini bukan sekadar bekerja untuk diri sendiri, tetapi untuk jaminan makanan negara. Disamping bergelar petani kami juga pengguna, kami juga rakyat Malaysia yang makan nasi tetapi kami tidak ada gaji, elaun dan sebagainya.

Dahulu kita mohon harga lantai naik kepada RM1,800 per tan metrik yang bukannya boleh terus jadikan pesawah kaya pun, tetapi yang dapat cuma RM1,500. Kita sebenarnya bersyukur, ada yang kata macam-macam, sebenarnya kita tertekan daripada seluruh aspek.

Subsidi RM2.6 bilion untuk pesawah, bukankah jumlah besar?
Ini naratif yang dibawa, antaranya petani-petani sudah terima banyak bantuan. Saya berkali-kali ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan selalu juga dimainkan bahawa subsidi padi terlalu banyak tetapi saya nak terangkan memang betul diumumkan RM2.62 bilion setahun atau RM4,300 per hektar tetapi bukan semua subsidi sebesar itu masuk ke poket petani.

Itu hanya nilai subsidi yang kerajaan bagi, kalau RM4,300 dapat kepada setiap petani kami tidak tuntut apa-apa dah. Jadi kita nak beritahu dalam RM4,300 itu ada subsidi baja, subsidi racun, subsidi benih dan segala macam insentif dalam itu.

Namun, 30 peratus sahaja sampai kepada petani dalam bentuk input pertanian. Jadi siapa yang dapat 70 peratus selebihnya. Sudah pasti pihak-pihak tertentu melalui perjanjian perniagaan antaranya pembekal baja, pembekal racun dan benih.

Subsidi benih sahaja RM80 juta setahun, baja RM600 juta setahun. Jumlah sebanyak itu kita kata besar tetapi masalah baja lewat, benih tidak berkualiti masih berlaku. Jadi sekarang kami nak tuntut harga padi kerana kenaikan kos lebih 50 peratus sudah tidak mampu ditanggung.

Mengapa kerajaan kena peruntuk sehingga RM2.6 bilion, jawapannya kerana kerajaan kawal harga Beras Putih Tempatan (BPT). Kalau harga tidak naik sejak 18 tahun lalu, kajilah semula dan kalau perlu naik sehingga RM40 sekampit pun tidak apa kerana bila harga padi mahal, beras kena mahal.

Kalau masih dikekalkan RM2.60 sekilogram sekarang ini pun, kedai mana yang kita dapat beli beras tempatan dengan harga itu. Tidak ada pun. Maksudnya dalam dua tahun ini kita telah menghalalkan penipuan kampit beras import yang tiada harga kawalan.

Difahamkan ada insentif yang sepatutnya sudah diterima belum disalurkan?
Insentif IPP yang diumumkan ketika penyelarasan harga diesel 2024, kesemua 200,000 pesawah belum dapat lagi. Sama juga insentif IPKP baru pembayaran dilakukan untuk satu musim diselesaikan.

Jadi tunggakannya di mana kerana menteri kata akan bayar untuk Musim 1/2025 sedangkan penyelarasan diesel berlaku pada 2024.

Maknanya kami kena keluarkan duit sendiri. Itu naratif yang kami sedang perbetulkan kepada masyarakat tetapi kenyataan yang digambarkan seolah-olah semua masalah dah selesai, pembayaran sudah dijelaskan sedangkan ia tidak berlaku.

Kenyataan menteri pada 28 Jun 2025, IPP dan IPKP akan selesai pada 31 Julai 2025. Hakikatnya tidak selesai pun lagi. Jadi ini yang kita tuntut daripada kerajaan, PeSAWAH konsisten menuntut sejak dulu lagi melibatkan empat kerajaan.

Tapi hari ini kami rasa dukacita apabila penyelesaian yang dituntut dianggap petani mengada-mengada. Maka saya nak tanya juga jangka waktu untuk pengumuman terkini bila akan dibayar kerana yang dahulu untuk 2024 pun belum diterima oleh petani sampai ke hari ini.

Apakah tuntutan utama pesawah ketika ini?
Jika kerajaan tidak dapat menurunkan kos secara langsung, kami menuntut supaya harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 per tan metrik. Itu harga yang lebih relevan dan bermaruah dengan keadaan semasa dan boleh membantu pesawah menampung kos.

Harga RM1,500 ketika ini sudah tidak padan lagi dengan kos sara hidup dan kos input pertanian yang melambung tinggi. Jika harga ini dikekalkan pesawah akan terus berdepan kerugian.

Maka kenaikan ini amat perlu bagi membolehkan pesawah memperoleh margin keuntungan munasabah demi kelangsungan hidup.

Jika harga lantai padi dinaikkan, insentif pembajakan boleh dihapuskan dan disalurkan kepada subsidi BPT sekiranya kerajaan masih mahu mengekalkan harga kawalan RM2.60 sekilogram kepada pengguna.

Kami juga mahu pelaksanaan sistem kad bahan api (kad fleet) khusus untuk pesawah, seperti yang diberikan kepada sektor lain di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Mekanisme ini dapat memastikan subsidi sampai secara langsung kepada pengguna jentera di bendang antaranya mesin padi, traktor pembajak, mesin pembajak kecil seperti jentani atau kubota serta pam air yang menggunakan diesel. Kami mohon permudahkan juga syarat bantuan subsidi diesel.

Bukankah sudah ada BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu?
Syarat yang digariskan tidak memungkinkan pesawah mendapat manfaat di bawah kedua-dua program ini walaupun kerajaan kata membawa manfaat kepada 200,000 pesawah tetapi kita nak mohon macam mana.

Syaratnya kena jadi kaya dulu dengan pendapatan RM50,000 ke atas, perlu ada sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kenderaan pula kena 10 tahun ke bawah. Kalau pam air ada gerankah, surat beranak pun tidak ada. Jadi bagaimana petani nak memohon.

Musim 1/2026 sudah bermula, pesawah masih tangguh?
Hampir 90 peratus kawasan sawah di Kedah termasuk di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum memulakan penanaman. Paras empangan kritikal dan tidak mencukupi untuk pengairan yang data terkini bawah 40 peratus.

Kalau pengairan tiada masalah dan air mengalir ke bendang seperti biasa cuma kami tetap tidak boleh mula sebab faktor kos. Walaupun jadual sudah dikeluarkan dan ada syor pihak MADA untuk tabur terus kering (TTK), bukan kita tolak cadangan itu cuma kaedah itu hanya sesuai untuk 1990-an.

Kita berhadapan risiko tinggi, pertamanya kos lebih tinggi berbanding kaedah biasa, gangguan perosak dan ancaman rumpai. Siapa nak tanggung petani bedepan kerugian.

Malah, hujan sejak kebelakangan ini masih tidak mampu membantu proses tanaman kerana berdasarkan data Jabatan Meteorologi, kita perlu hujan yang agak tinggi, setelah kemarau yang panjang memakan masa untuk tahap lapisan tanah menyerap air.

Kita masih perlukan bekalan dari sungai, tali air untuk menyokong proses tanaman. Jadi situasi semasa tidak memungkinkan pesawah-pesawah ini mengikut jadual yang dikeluarkan.

Saya faham dalam kalangan petani ada yang sudah lima tahun buat bendang, malah lebih 20 ke 40 tahun tanam padi, mana mungkin mereka nak tinggalkan sektor ini yang telah menjadi darah daging.

Tetapi bila kata nak berhenti sekejap itu maknanya memang dah tidak boleh hadapi lagi dengan situasi sekarang.

Adakah situasi ini beri kesan kepada pengeluaran padi negara?
Seandainya cuma kira-kira 30 peratus daripada 200,000 pesawah di seluruh negara kini berhenti sementara, menukar tanaman atau hanya menanam untuk kegunaan sendiri, keluasan sawah akan mengecil dan kita berdepan risiko krisis makanan.

Sekarang pun SSR beras negara tidak sampai 50 peratus. Ini bermaksud kita terlalu bergantung kepada import, sedangkan negara pengeksport juga terkesan dengan krisis global. Industri padi ini merupakan tanaman yang berada dalam kategori sekuriti makanan, malah ia adalah kedaulatan makanan.

Jadi amat penting untuk pesawah sendiri menitik beratkan faktor itu bahawa kita memang nak menjamin makanan negara tetapi pada masa kita kena jaminkan juga petani-petani untuk terus melakukan aktiviti pertanian kerana sekarang ini motivasi dan momentum mereka sangat rendah.

Majoriti pesawah pun berusia 50 tahun ke atas. Golongan muda tidak berminat kerana pulangan tidak setimpal dengan risiko. Tanaman padi ini berisiko tinggi, terdedah kepada banjir, kemarau dan serangan perosak tetapi tiada jaminan pendapatan tetap.

Apa mesej utama kepada kerajaan?
Kerajaan perlu campur tangan secara holistik dan segera. Isu ini bukan lagi soal ekonomi semata-mata, tetapi soal kedaulatan makanan negara.

Kami NGO PeSAWAH tidak akan berhenti di sini. Kami sebenarnya dah cukup dengan libat urus, perbincangan dan sebagainya. Kami sudah letih kerana tahu hasilnya tidak berbaloi.

Maka kami akan teruskan dengan desakan melalui himpunan dari semasa ke semasa dan ada dua himpunan lebih besar akan diadakan di Pejabat Perdana Menteri dan Bangunan Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×