Perubahan iklim punca kes hantavirus meningkat - Utusan Malaysia

Perubahan iklim punca kes hantavirus meningkat

KES hantavirus dikaitkan dengan najis tikus. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Kes hantavirus di Argentina dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh setahun  lalu dengan negara itu mencatatkan 32 kematian serta jumlah jangkitan tertinggi sejak 2018. 

Pihak berkuasa Argentina kini sedang giat mengesan jejak langkah pasangan yang telah melakukan perjalanan luas di negara itu sebelum meninggal dunia akibat wabak virus berkenaan di atas kapal persiaran MV Hondius.

Kapal tersebut telah bertolak dari pelabuhan Ushuaia di selatan Argentina pada 1 April dan tiba di pelabuhan Granadilla, Tenerife, awal pagi Ahad ini dalam perjalanannya menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol. 

Menurut pakar, peningkatan kes ini berpunca daripada faktor perubahan iklim dan kemusnahan habitat, di mana penyakit ini biasanya disebabkan oleh pendedahan kepada air kencing atau najis tikus yang dijangkiti.

Kementerian Kesihatan Argentina melaporkan sebanyak 101 kes hantavirus disahkan bagi musim semasa yang bermula sejak Jun 2025. Ia mencatatkan peningkatan ketara berbanding hanya 57 kes dalam tempoh yang sama musim lalu. 

Selain jumlah jangkitan yang luar biasa tinggi, negara itu turut merekodkan kadar kematian yang membimbangkan dengan peningkatan sebanyak 10 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.

Angka-angka jangkitan ini bagaimanapun tidak termasuk kes daripada wabak yang berlaku di atas kapal persiaran MV Hondius yang punca asalnya masih belum diketahui. 

Walaupun tiada kes hantavirus direkodkan di Ushuaia dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, virus berkenaan disahkan sebagai endemik di beberapa kawasan lain di Argentina. 

Pihak berkuasa percaya pasangan yang maut itu telah mengunjungi pelbagai wilayah dan melintasi sempadan Chile serta Uruguay beberapa kali sebelum menaiki kapal persiaran tersebut. 

Empat wilayah geografi di Argentina secara sejarahnya merupakan kawasan berisiko tinggi bagi penularan virus ini, Ia adalah kawasan Barat Laut (melibatkan wilayah Salta, Jujuy dan Tucumán), Timur Laut (Misiones, Formosa dan Chaco), Tengah (Buenos Aires, Santa Fe dan Entre Ríos), serta Selatan (Neuquén, Río Negro, dan Chubut). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×