Musyawarah Nasional perlu jadi NGO satukan Melayu

Musyawarah Nasional perlu jadi NGO satukan Melayu

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar majlis penutup Musyawarah Nasional di Hotel Premiera Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Musyawarah Nasional perlu didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghimpunkan seluruh tokoh Melayu-Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gerakan itu perlu menjadi wadah bersama yang bersifat inklusif dan berterusan demi memperjuangkan agenda Melayu, Islam serta perpaduan negara secara lebih tersusun.

Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional berkata, perkara itu bagi memastikan himpunan itu tidak dimonopoli mana-mana parti politik, kelompok mahupun individu tertentu.

“Setiausaha tetap Musyawarah Nasional hendaklah segera mengambil tindakan untuk mendaftarkan Musyawarah Nasional sebagai sebuah NGO di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Jangan ditubuhkan sebagai gabungan parti politik, tetapi sebuah NGO yang menggabungkan fikrah seluruh kaum Melayu-Islam di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Musyawarah Nasional ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’ di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Musyawarah Nasional perlu menjadi milik semua pihak yang ikhlas menginginkan bangsa Melayu serta umat Islam di negara ini terus diperkasakan.

“Musyawarah Nasional ini bukan milik mana-mana individu, bukan juga milik mana-mana kelompok atau mana-mana politik dan ia mesti menjadi milik semua yang ikhlas.

“Mereka yang mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, lebih bermaruah dan lebih tersusun untuk berjaya membangun bangsa di tanah air sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa segala resolusi dan cada­ngan yang dibangkitkan dalam Musyawarah Nasional tidak akan dibiarkan menjadi retorik atau dokumen simpanan semata-mata, sebaliknya akan dipantau sehingga ke peringkat pelaksanaan.

“Saya tidak mahu resolusi hanya diserahkan kepada kementerian dan jabatan, kemudian dibakulkan begitu sahaja. Musyawarah Nasional menuntut tindakan susulan yang serius.

“Saya sendiri akan membawa cadangan-cadangan ini kepada Kabinet dan semua menteri Melayu-Islam dalam kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan agenda ini dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, satu sekretariat tetap di bawah Musyawarah Nasional juga akan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan semua cadangan yang dikemukakan selain memastikan lima teras utama kepentingan Mela­yu iaitu agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dibin­cangkan secara berkala.

Katanya, pengerusi bagi setiap teras yang dibentangkan dalam musyawarah itu juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengadakan pertemuan susulan sekurang-kurang­nya setiap dua bulan bagi memperin­cikan pelaksana­an agenda berkaitan Melayu, Islam dan perpaduan nasional.

Sementara itu, beliau berkata, pengukuhan agenda Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kaum lain selagi ia berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta menghormati hak semua rakyat.

“Bangsa teras yang stabil adalah asas kepada Malaysia yang stabil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN