SUBANG JAYA: Pengeluar kombucha atau teh yang melalui proses fermentasi tempatan, WonderBrew menyasarkan menembusi pasaran luar termasuk Singapura, Indonesia, Thailand dan Jepun dalam dua tahun akan datang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Poh berkata, syarikat kini sedang berbincang dengan beberapa rakan strategik bagi memperluaskan penembusan produk ke pasaran antarabangsa, seiring peningkatan permintaan terhadap minuman berfungsi.
Katanya, WonderBrew telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2019, sekali gus membantu memperluaskan lagi pasaran serta meningkatkan keyakinan pengguna terutamanya yang beragama Islam.
“Pensijilan halal bukan sekadar soal halal semata-mata, tetapi ia juga melibatkan standard kebersihan, keselamatan makanan, konsistensi dan keyakinan terhadap produk.
“Di Malaysia, pensijilan halal sangat penting dan ia juga membantu dari segi potensi eksport kerana standard halal Malaysia diiktiraf serta mempunyai reputasi yang baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Bandar Sunway, di sini baru-baru ini.
WonderBrew diasaskan pada 2018 hasil kerjasama Joseph dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasinya, Loke Boon Eng yang mahu menghasilkan jenama kombucha tempatan dengan identiti Malaysia menerusi penggunaan buah-buahan dan herba tempatan.
Sementara itu, Boon Eng berkata, antara perisa yang dihasilkan termasuk Passionfruit Mint, Purple Serai, Sakura Lychee Rose, Yuzu Mint dan Nihon Green Tea, selain rangkaian Jun Tea yang menggunakan madu menggantikan gula.
Menurut beliau, penggunaan bahan tempatan bukan sahaja membantu menyokong petani tempatan, malah memberi identiti tersendiri kepada produk WonderBrew berbanding jenama lain di pasaran.
“WonderBrew mempunyai identiti tempatan yang unik dalam perisa kombucha keluaran kami. Contohnya kami gunakan markisa, mint dan bunga telang. Bunga telang sangat menarik kerana warnanya biru tetapi apabila dicampur dengan kombucha ia bertukar menjadi ungu.
“Kami juga menggunakan herba tempatan seperti serai dan halia dari Bentong, Pahang,” ujarnya.
Beliau berkata, perisa Passionfruit Mint Kombucha yang kini menjadi antara produk paling popular syarikat turut memenangi pingat emas pada World Kombucha Awards 2025 di Barcelona, Sepanyol tahun lalu.
Tambahnya, WonderBrew turut mencipta sejarah apabila menjadi syarikat Asia pertama dan satu-satunya memenangi enam anugerah dalam satu pertandingan menerusi lima kategori perisa serta satu kategori reka bentuk botol.
Menurutnya, produk WonderBrew sudah memasuki pasaran di beberapa negeri termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Pahang, Perak dan Sarawak. – UTUSAN











