LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, berdepan tekanan politik untuk menetapkan garis masa peletakan jawatannya selepas Parti Buruh mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya di seluruh Britain.
Keputusan setakat malam Jumaat itu mendorong beberapa ahli Parlimen kanan parti itu mendesak beliau berundur meletakkan jawatan dalam tempoh setahun.
Parti Buruh kehilangan kawalan ke atas lebih 25 majlis dan lebih 1,000 kerusi majlis England, dengan kebanyakannya ditawan oleh Reform UK pimpinan Nigel Farage yang mencatatkan keuntungan besar di Midlands dan utara serta merampas kerusi daripada Konservatif di selatan.
Selepas lebih satu abad penguasaan, Parti Buruh turut berdepan kekalahan hampir menyeluruh di Wales, apabila menteri pertama parti itu, Eluned Morgan, turut kehilangan kerusinya.
Parti itu juga berkemungkian merosot ke tempat ketiga di Scotland di belakang SNP dan Reform.
Di London, kebangkitan Parti Hijau menyebabkan Parti Buruh kehilangan kawalan ke atas beberapa majlis yang sebelum ini dikuasainya, termasuk Hackney dan Waltham Forest.
Walaupun perdana menteri dilihat berjaya mengelak daripada cubaan rampasan kuasa serta-merta, keputusan pilihan raya itu mencetuskan reaksi marah dalam kalangan ahli Parlimen kanan dan kesatuan sekerja, dengan sebahagian memberi amaran supaya beliau mengubah haluan atau berdepan kekalahan pilihan raya lebih teruk.
Menjelang petang kelmarin, 10 lagi ahli Parlimen dilaporkan mendesak beliau menetapkan garis masa untuk berundur dari Downing Street.
Bagaimanapun, Starmer menegaskan tidak akan berundur daripada kepimpinan kerana tindakan itu akan menjerumuskan parti ke dalam kekacauan, walaupun beliau mengakui pengundi muak dengan perubahan yang terlalu perlahan.
Sumber Downing Street berkata, Starmer akan menyampaikan ucapan penting minggu depan bagi cuba menggariskan visi yang lebih optimistik mengenai masa depan negara.- THE GUARDIAN











