AS lumpuhkan kapal tangki Iran, dorong serangan balas

AS lumpuhkan kapal tangki Iran, dorong serangan balas

KAPAL-kapal tangki berlabuh di Selat Hormuz di luar Bandar Abbas, selatan Iran, awal bulan ini.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat (AS) melumpuhkan dua kapal tangki berbendera Iran bagi menguatkuasakan sekatan pelabuhan pada Jumaat, sekali gus mencetuskan serangan balas dan menggugat gencatan senjata rapuh ketika Teheran menilai cadangan terbaharu Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Gencatan senjata berasingan di Lubnan turut berada dalam keadaan tegang semalam apabila Hizbullah yang disokong Iran melancarkan peluru berpandu ke sebuah pangkalan tentera di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan di Beirut yang membunuh seorang komander kanan serta beberapa serangan lain di selatan negara itu.

Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, sebuah pesawat pejuang F/A-18 Super Hornet menggunakan senjata tepat pada Jumaat terhadap dua kapal di Teluk Oman, pintu masuk ke Selat Hormuz yang penting, bagi menghalang kapal terbabit daripada meneruskan pelayaran ke Iran.

Seorang pegawai tentera Iran memberitahu media tempatan, tentera laut negara itu ‘bertindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata dan keganasan AS dengan melancarkan serangan’, sambil menambah selepas pertukaran tembakan, pertempuran kini telah dihentikan.

Insiden terbaharu itu berlaku selepas satu lagi ketegangan tercetus semalaman di selat berkenaan, yang kawalannya disamakan oleh seorang penasihat pemimpin tertinggi Iran sebagai memiliki ‘bom atom’.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, sekali lagi menolak untuk Teheran mengawal selat itu, sambil menambah Washington menjangkakan maklum balas Iran terhadap cadangan terbaharunya lewat hari berkenaan.

“Saya berharap ia adalah tawaran yang serius, saya benar-benar berharap begitu,” katanya kepada wartawan ketika lawatan ke Rom.

Washington menghantar kepada Iran, menerusi pengantara Pakistan, satu cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata di Teluk bagi membolehkan rundingan mengenai penyelesaian muktamad konflik yang tercetus 10 minggu lalu susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei semalam berkata, cadangan itu masih diteliti, dan sebaik keputusan muktamad dicapai, ia pasti akan diumumkan, menurut agensi berita ISNA.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×