Indonesia timbang larang remaja 16 tahun guna e-dagang - Utusan Malaysia

Indonesia timbang larang remaja 16 tahun guna e-dagang

INDONESIA pertimbang larangan e-dagang untuk golongan berumur bawah 16 tahun. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedang mempertimbangkan larangan penggunaan platform e-dagang bagi remaja yang berumur di bawah 16 tahun, kata Menteri Komunikasi pada Rabu kepada AFP.

Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid, dalam wawancara di Jakarta berkata: “Kami mendapati kanak-kanak menjadi mangsa penipuan melalui e-dagang,”

Pada Mac lalu, Indonesia yang berdepan masalah ketagihan aplikasi mula menguatkuasakan larangan media sosial bagi mereka bawah 16 tahun dalam usaha melindungi kira-kira 70 juta kanak-kanak daripada ancaman pornografi dalam talian, buli siber dan ketagihan internet.

Dasar itu menyusuli langkah bersejarah Australia pada Disember tahun lalu untuk menghalang remaja memiliki akaun di banyak platform popular.

Peraturan Indonesia itu pada awalnya menyasarkan lapan platform berisiko tinggi seperti YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, perkhidmatan penstriman Bigo Live dan platform permainan Roblox.

Namun, kata Meutya, pada akhirnya, ia  akan terpakai kepada semua platform digital, termasuk laman beli-belah dalam talian.

Kepulauan Asia Tenggara dengan lebih 284 juta penduduk itu mempunyai antara jumlah pengguna media sosial tertinggi di dunia.

Meutya berkata, matlamat kerajaan adalah membantu ibu bapa berdepan platform besar untuk melindungi anak-anak mereka.

“Membiarkan mereka berdepan (platform-platform itu) sendirian, tanpa peraturan, ibarat membiarkan ibu bapa bermain catur menentang seorang pemain catur handalan. 

“Mereka tidak akan menang atau ia akan menjadi sangat sukar untuk menang,” kata Meutya kepada AFP.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×