Jerebu: Indonesia rekod 277,075 kes jangkitan pernafasan

Jerebu: Indonesia rekod 277,075 kes jangkitan pernafasan

INDONESIA kini meningkatkan usaha membendung kebakaran di enam wilayah paling teruk terjejas di Borneo dan Sumatera.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebanyak 277,075 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan di tujuh wilayah Indonesia yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah setakat 12 Oktober lalu.

Ketua Biro Komunikasi dan Maklumat Awam Kementerian Kesihatan Indonesia, Aji Muhawarman, berkata pemantauan berterusan dilakukan bagi mengesan kemungkinan peningkatan kes serta memperkukuh langkah menangani risiko kesihatan awam.

Beliau berkata, kementerian itu dengan kerjasama kerajaan wilayah turut mempertingkatkan pengawasan penyakit, perkhidmatan kesihatan, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dan pengagihan bekalan logistik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat 12 Oktober, seramai 2,106 petugas perubatan dan kesihatan dikerahkan, manakala lebih 2.8 juta pelitup muka diagihkan menggunakan stok simpanan kerajaan pusat dan wilayah.

Menurut Aji, jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah mengandungi zarah halus yang dikenali sebagai PM2.5 serta bahan berbahaya lain yang boleh mencetuskan jangkitan saluran pernafasan akut, batuk dan sesak nafas, selain memburukkan keadaan pesakit asma.

Beliau berkata, bayi, kanak-kanak, wanita hamil, warga emas serta individu yang menghidap penyakit paru-paru kronik merupakan antara golongan paling berisiko terjejas akibat jerebu.

Beliau turut berkata, pendedahan berpanjangan kepada jerebu boleh menjejaskan kesihatan mental sehingga menyebabkan tekanan dan kebimbangan, susulan gangguan terhadap aktiviti sosioekonomi, pendidikan dan pekerjaan.

Bagi menangani kesan itu, orang ramai digalakkan mengekalkan rutin harian serta menyediakan aktiviti dalam rumah untuk kanak-kanak di kawasan yang mempunyai udara lebih bersih.

Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya memantau perubahan tingkah laku, gangguan tidur serta perubahan tabiat pemakanan kanak-kanak.

Kementerian itu turut meminta pihak berkuasa tempatan memastikan perkhidmatan kesihatan bersedia menangani situasi berkenaan serta melindungi golongan berisiko di kawasan terjejas.- ANTARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini