Malaysia perkukuh kerjasama serantau BIMP-EAG

Malaysia perkukuh kerjasama serantau BIMP-EAGA

ANWAR Ibrahim bersama Sultan Brunai, Sultan Hassanal Bolkiah (kiri), Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Ferdinand Marcos Jr. pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina semalam. – Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia ko­mited memperkukuh kerjasama serantau menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sebagai wahana strategik yang merapatkan jurang pembangunan dan memperluas jaringan demi kemaslahatan rakyat rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jari­ngan tersebut termasuklah dalam aspek perdagangan, pelaburan, keterhubungan digital serta ke­terjaminan makanan.

“Dalam Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu, saya menegaskan bahawa Visi BIMP-EAGA 2035 mesti dipacu dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan,” katanya semalam.

Anwar tiba di Cebu, Filipina semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Sidang kemuncak itu menghimpunkan pemimpin 11 negara anggota bagi membincangkan agenda pembangunan mampan, kesalinghubungan serta pertumbuhan ekonomi inklusif di sub-rantau berkenaan.

Anwar turut berkata, ASEAN harus tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani susulan krisis bekalan tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Oleh itu, Malaysia mendukung pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan, pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan mini-grid agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat, termasuk komuniti di kawasan pedalaman,” katanya.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk, Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. pula berkata, kerjasama di bawah BIMP-EAGA perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan membuktikan kerjasama serantau memberi impak paling besar apabila manfaatnya dapat dirasai komuniti tempatan.

Mengulas lanjut, Anwar turut berkata, Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi.

“Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×