PETALING JAYA: Penambahan fasiliti kesihatan tanpa menangani isu kekurangan tenaga kerja hanya akan menambah tekanan kepada petugas sedia ada, sekali gus menjejaskan kecekapan perkhidmatan.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr. Shanmuganathan Ganeson berkata, kekangan tenaga kerja kesihatan menyebabkan beberapa fasiliti sedia ada tidak dapat beroperasi pada kapasiti optimum meskipun infrastruktur telah disediakan.
Katanya, ketiadaan perancangan tenaga kerja yang jelas boleh menyebabkan peluasan fasiliti kesihatan gagal dimanfaatkan sepenuhnya walaupun pembangunan fizikal terus dilaksanakan.
“Pengumuman pembinaan hospital baharu memberi gambaran seolah-olah masalah sistem kesihatan boleh diselesaikan melalui infrastruktur. Hakikatnya, krisis sebenar adalah krisis tenaga kerja.
“Malaysia tidak kekurangan bangunan. Kita kekurangan doktor yang kekal dalam sistem awam, jururawat berpengalaman, kakitangan kesihatan yang lain dan pakar yang mencukupi untuk mengoperasikan fasiliti kompleks,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan kepada pembinaan tiga buah hospital baharu, selain memperkukuh fasiliti sedia ada bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulketly Ahmad dilaporkan berkata, pendekatan itu diambil memandangkan kebanyakan hospital awam ketika ini beroperasi dengan kapasiti hampir 100 peratus sekali gus memerlukan peluasan fasiliti termasuk pembinaan blok tambahan.
Mengulas lanjut, Shanmuganathan berkata, isu berkaitan penjawatan dan beban kerja doktor masih belum diselesaikan sepenuhnya walaupun telah dibangkitkan sejak sekian lama, sekali gus memberi kesan kepada keupayaan sistem kesihatan mengekalkan tenaga kerja sedia ada.
Katanya, keadaan itu menyebabkan tekanan berterusan terhadap doktor dalam sektor awam selain menjejaskan usaha memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.
“Beban kerja doktor awam masih tinggi dan tidak mampan. Ramai doktor memilih keluar daripada sistem awam kerana keletihan dan prospek kerjaya yang terhad.
“Selagi isu asas ini tidak ditangani, sebarang penambahan fasiliti hanya akan menambah tekanan ke atas tenaga kerja sedia ada atau menghasilkan hospital yang tidak dapat berfungsi secara optimum,” katanya. – UTUSAN










