MEKAH: Sindiket visa palsu kini tidak lagi ada ruang untuk menipu jemaah apabila penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan di tanah suci oleh kerajaan Arab Saudi menerusi penggunaan kad Nusuk sebagai sistem kawalan utama kemasukan ke Mekah.
Langkah itu susulan taktik sindiket yang menawarkan pakej haji pada harga luar biasa dan menjanjikan peluang ke tanah suci, sedangkan ia sebenarnya menjerat bakal jemaah hingga gagal tunaikan ibadah.
Sindiket berkenaan lazimnya memancing mangsa dengan tawaran segera, penggunaan visa tidak sah seperti visa pelancong dan desakan pembayaran tanpa sebarang dokumen atau jaminan bertulis.
Namun tanpa kad Nusuk sebagai dokumen wajib, jemaah tidak lagi boleh memasuki Mekah atau berada di Masjidil Haram sewenang-wenangnya, sekali gus menyukarkan pergerakan pihak tidak bertanggungjawab.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, penguatkuasaan ketat oleh Kerajaan Arab Saudi menjelang musim haji berjaya mengekang cubaan menggunakan permit atau visa tidak sah.
Kata beliau, penguatkuasaan biasanya diperketatkan sebelum bermula musim haji bagi memastikan hanya jemaah dengan permit sah dibenar berada di Mekah.
“Kerajaan Arab Saudi melaksanakan pemeriksaan di sekatan jalan raya, selain memantau kediaman dan hotel bagi memastikan setiap individu mempunyai permit haji yang sah.
“Mereka akan menyemak aplikasi Nusuk. Jika tiada, individu tersebut akan diminta keluar dari Mekah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sekumpulan jemaah Malaysia yang sudah berniat ihram dan bersedia menunaikan Rukun Islam kelima bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dihalang masuk ke tanah suci akibat menggunakan visa palsu.
Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan pasukan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menangani kes tipu badal haji bagi musim haji 2026.
Dalam pada itu, Tengku Mohd. Dzaraif menegaskan bahawa rakyat Malaysia lazimnya mematuhi peraturan dan memasuki Tanah Suci melalui saluran rasmi seperti Lembaga Tabung Haji (TH).
“Setakat ini, rakyat Malaysia yang datang menunaikan haji menggunakan saluran yang betul,” katanya. – UTUSAN











