Mafia kuasa gelap yang tidak pernah mati

Mafia kuasa gelap yang tidak pernah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAFIA merupakan antara contoh paling terkenal bagi rangkaian jenayah terancang yang berstruktur dan berhierarki. Mereka beroperasi menyerupai sebuah entiti perniagaan.

Kumpulan mafia bergantung kepada sistem pengurusan, perancangan strategik dan kawalan wilayah dalam menjalankan aktiviti haram bagi meraih keuntungan ekonomi.

Jenayah mereka merangkumi pemerasan, perjudian, pemberian pinjaman haram dan pengubahan wang haram. Keganasan dan pembunuhan digunakan untuk menegakkan kuasa, menyingkirkan pesaing dan mengekalkan disiplin dalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kegiatan mafia boleh dikesan sejak akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, apabila pendatang Sicily di bandar seperti New York, Chicago, Detroit dan Boston membentuk kumpulan terancang untuk perlindungan serta kelangsungan hidup.

Antara mafia Itali-Amerika yang paling terkenal ialah keluarga jenayah Genovese, Gambino dan Lucchese. Mereka merupakan sebahagian daripada Five Families dalam La Cosa Nostra.

Setiap keluarga dipimpin seorang ketua atau ‘Don’, ibarat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang menetapkan strategi, membuat keputusan utama dan menentukan arah jangka panjang tanpa terlibat secara langsung dalam urusan harian. Fokusnya tertumpu pada perkembangan organisasi, pengurusan sumber serta kepimpinan melalui pemikiran strategik yang proaktif.

Sementara itu, timbalan ketua, lazimnya merupakan individu yang dilatih sebagai pengganti, kadangkala anak sendiri berperanan sebagai orang kedua dalam struktur hierarki.

Individu ketiga dalam hierarki ialah penasihat dan orang kepercayaan. Di bawahnya, kapten atau ‘capo’ menyelia ahli berpangkat paling rendah yang dikenali sebagai ‘soldier’.

Mafia sering mengamalkan taktik ‘Plata o Plomo’ (perak atau peluru), iaitu ‘Plata’ berupa sogokan kepada pegawai yang bekerjasama dalam bentuk bayaran lumayan secara berterusan, manakala ‘Plomo’ ialah ancaman keganasan terhadap pegawai tersebut atau ahli keluarganya jika menolak sogokan.

Pemimpin mafia juga melindungi diri daripada pendakwaan dengan menyerahkan pelaksanaan jenayah kepada orang bawahan, menjadikannya sukar untuk mengesan pihak yang tanggungjawab.

Usaha untuk membanteras operasi mafia di New York pada awal abad ke-20 sering gagal akibat rasuah dan ugutan yang berleluasa agensi kuatkuasa.

Ramai pegawai penguatkuasa, penjawat awam, malah anggota kehakiman menerima sogokan. Keupayaan mereka untuk ‘membeli’ sistem undang-undang adalah kunci kepada kelangsungan organisasi ini.

Kekayaan kumpulan mafia juga membolehkan mereka mendapatkan khidmat guaman terbaik, mengeksploitasi kelompongan undang-undang kejahatan dan memanfaatkan rangkaian rasuah untuk mengelakkan sabitan.

Oleh kerana sukar untuk mendapat bukti untuk menuduh kumpulan mafia, FBI mengguna akta cukai melalui Ejen IRS Frank Wilson mengetuai siasatan dan menemui bukti Capone mempunyai pendapatan haram yang tidak dilaporkan. Akta ini membolehkan seseorang dipenjara jika disabit kesalahan. Pada 1931, Capone dijatuhi hukuman penjara 11 tahun.

Ini adalah titik permulaan agensi kuatkuasa menggunakan perakaunan forensik untuk membuktikan siasatan kewangan boleh berjaya apabila kaedah tradisional gagal. Kaedah ini diguna pakai sehingga kini untuk menumpaskan kes-kes berprofil tinggi yang sangat kompleks.

Dari 1950-an hingga 1970-an, tekanan penguatkuasaan yang meningkat serta inovasi undang-undang seperti Akta Organisasi yang Dipengaruhi Pemerasan dan Rasuah (RICO) membolehkan pihak berkuasa mendakwa keseluruhan organisasi jenayah, bukan sekadar individu. Perubahan strategi menyaksikan pihak berkuasa beralih daripada menumpu kesalahan keganasan kepada jenayah kewangan.

Sebagai tindak balas, kumpulan mafia menyesuaikan diri dengan menjadi lebih berahsia dan melabur dalam industri sah seperti pembinaan, pengangkutan dan pengurusan sisa bagi mengubah wang haram serta mengelakkan pengawasan.

Sejak 1980-an, jenayah terancang berkembang menjadi rangkaian global yang lebih terdesentralisasi. Dengan memanfaatkan globalisasi, teknologi dan sistem kewangan yang kompleks, kumpulan ini beroperasi merentasi sempadan dalam aktiviti seperti pengedaran dadah, jenayah siber, penipuan dan pemerdagangan manusia.

Kumpulan hibrid dari Rusia, China dan Mexico sering disokong oleh profesional seperti peguam dan akauntan, serta menggunakan syarikat cangkang untuk operasi mereka.

Kelonggaran kawal selia kewangan membolehkan mafia melakukan pengubahan wang haram melalui penempatan (memasukkan wang tunai ke bank), pelapisan (memindahkan wang antara akaun atau negara) dan integrasi (menggunakan wang itu untuk membeli perniagaan seperti restoran atau hartanah supaya kelihatan sah).

Laporan menunjukkan Finland, yang dianggap sebagai negara rendah rasuah, mempunyai kira-kira 100 kumpulan jenayah terancang dengan rangkaian yang semakin berkembang dan pengaruh asing.

Di Itali, selain Mafia Sicily, kumpulan utama lain adalah Ndrangheta dan Camorra, yang mempunyai puluhan ribu ahli, menjadikan negara itu pusat penting jenayah terancang di Eropah.

 

 

BERKEMBANG
FBI, melaporkan aktiviti berkaitan mafia kini merangkumi penipuan sekuriti, scam, perjudian haram, pertaruhan dalam talian dan penipuan yang semakin canggih dan sukar dikesan agensi penguatkuasa.

Pada 2022, FBI mendakwa sembilan ahli keluarga jenayah Genovese dan Bonnano atas tuduhan pemerasan, perjudian haram, pengubahan wang haram dan jenayah lain.

Pada Disember 2024, bekas kapten keluarga jenayah Genovese, Carmelo Polito, dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan kerana mengendalikan pusat perjudian haram serta skim perjudian dalam talian yang menyalahi undang-undang.

Pencegahan yang berkesan memerlukan pendekatan pelbagai dimensi termasuk rangka kerja undang-undang yang adaptif, tadbir urus yang kukuh, penguatkuasaan yang berkesan, kerjasama antarabangsa dan pemantauan proaktif.

Dengan menggabungkan ketelusan, kerjasama dan strategi inovatif, masyarakat boleh mengehadkan pengaruh jenayah terancang serta melindungi institusi, komuniti dan kedaulatan undang-undang.

Strategi moden seperti perakaunan forensik, siasatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan perkongsian risikan menyokong usaha ini.

Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram memainkan peranan penting dengan membolehkan pihak berkuasa merampas aset dan mendakwa jenayah kewangan, namun kuasa luasnya memerlukan pengawasan rapi bagi mengelakkan penyalahgunaan. –UTUSAN

 

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Profesor dan Pengarah Institut Kriminologi Dan Keadilan Jenayah, Universiti HELP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini