Jualan kereta elektrik naik dua kali ganda di Nepal - Utusan Malaysia

Jualan kereta elektrik naik dua kali ganda di Nepal

SEBUAH kereta elektrik (kiri) di Kathmandu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Ketika pasaran bahan api global bergelora akibat perang di Asia Barat, pemandu di Nepal semakin beralih kepada kenderaan elektrik (EV), dengan mendapat permintaan tinggi.

Negara yang mempunyai 30 juta penduduk itu dianggarkan memiliki 50,000 EV, masih sebahagian kecil daripada keseluruhan 6.2 juta kenderaan bermotor, namun angka itu dijangka terus meningkat.

Harga petrol di Nepal, yang mengimport semua bekalan petrolnya, hampir meningkat dua kali ganda sejak perang bermula pada akhir Februari susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Negara Himalaya itu mengimport lebih 13,500 EV antara pertengahan 2024 hingga pertengahan 2025,  dua kali ganda jumlah kenderaan petrol dan meningkat ketara berbanding hanya tujuh unit sedekad lalu, menurut data kerajaan.

Pemandu van elektrik, Purushottam Adhikari berkata, beliau kini membawa lebih ramai penumpang bagi perjalanan sejauh 300 kilometer antara bandar di daerah Chitwan dan ibu negara Kathmandu.

“Pekerjaan saya tidak terjejas (oleh konflik itu),” kata lelaki berusia 48 tahun itu, yang memandu van elektrik 18 tempat duduk buatan China di lebuh raya Nepal setiap hari. 

“Malah, lebih ramai orang memilih EV,” katanya.

Walaupun tambang pengangkutan meningkat, Adhikari memberitahu AFP bahawa tambangnya kekal pada 700 rupee (RM18) bagi perjalanan sehala menggunakan Joylong A6 miliknya yang hanya memerlukan kos 1,200 rupee (RM31) untuk cas penuh.

Tangki penuh bagi kenderaan diesel setara pula akan menelan kos lebih 10,000 rupee (RM260), katanya.

Rangkaian stesen pengecas yang semakin berkembang di sepanjang lebuh raya utama menjadikan perjalanan jarak jauh menggunakan EV semakin praktikal.

Ketika menaiki van Adhikari, seorang penumpang, Susmita Bishowkarma, 20, berkata, beliau lebih gemar menggunakan EV kerana ia mesra alam, selesa dan secara relatifnya murah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini