Penumpang enggan tamat bual telefon dalam pesawat ditahan - Utusan Malaysia

Penumpang enggan tamat bual telefon dalam pesawat ditahan

SEORANG wanita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Seorang wanita telah ditahan dan menyebabkan sebuah penerbangan Delta mengalami kelewatan selepas dia enggan memutuskan talian telefon bimbit miliknya sebelum pesawat berlepas.

Shannon Marie Harris, 46, yang berasal dari Tyrone, Georgia, telah ditahan oleh Pejabat Syerif Daerah Miami-Dade minggu lalu selepas tindakannya itu memaksa kira-kira 200 penumpang lain keluar dari pesawat Delta penerbangan 1323.

Penerbangan pada 27 April itu dijadualkan menuju ke Atlanta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Miami. 

Menurut pegawai Delta, Harris sedang berbual melalui telefon itu ketika pesawat sedang bergerak di landasan dan dia tetap enggan menamatkan panggilan tersebut walaupun telah diminta berulang kali oleh pramugari.

Berdasarkan laporan tangkapan, wanita berkenaan mula bertindak agresif dan berkelakuan biadab semasa berurusan dengan kakitangan kabin. 

Keadaan itu memaksa juruterbang meminta agar dia dikeluarkan dari pesawat dan kembali ke pintu pelepasan.

Penyelia Delta kemudian menaiki pesawat dan meminta Harris keluar, namun dia tetap berdegil sehingga pihak polis terpaksa dipanggil. 

Walaupun anggota pihak berkuasa telah tiba dan memintanya keluar, wanita itu tetap enggan berganjak. Kapten pesawat akhirnya membuat keputusan agar kesemua penumpang perlu turun dari pesawat tersebut.

Satu rakaman video oleh penumpang lain menunjukkan suasana keluh-kesah dalam kalangan penumpang selepas pengumuman untuk mengosongkan pesawat dibuat. Harris akhirnya bangun untuk meninggalkan pesawat bersama penumpang lain dan terus ditahan di pintu pelepasan.

Rekod tangkapan menunjukkan dia kini berdepan sekurang-kurangnya satu pertuduhan pencerobohan. Meskipun pesawat tersebut akhirnya berjaya berlepas selepas penahanan Harris, penerbangan itu telah tertunda selama kira-kira satu jam.

Jurucakap Delta dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pihak syarikat tidak bertoleransi terhadap tingkah laku yang mengganggu dan memohon maaf kepada pelanggan atas kelewatan serta pengalaman buruk yang dialami mereka. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×