SUNGAI PETANI: Wanita yang dipukul suaminya sehingga parah dan keguguran kandungan 12 minggu dalam kejadian di Ambangan Heights, semakin beransur pulih.
Mohd. Firdaus Mokhtar, 45, berkata, adiknya, Nurfitri, 39, masih dirawat di wad khas Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan menunjukkan perkembangan positif selain tidak lagi mengadu sakit.
“Syukur adik saya kini beransur pulih dan mula menunjukkan tanda-tanda positif termasuk mampu berjalan, bercakap dan makan seperti biasa. Semasa melawatnya kelmarin saya melihat dia mula berjalan kembali selepas lama terlantar akibat kecederaan dialaminya dalam kejadian itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Firdaus, pihak polis juga telah selesai merakam keterangan adiknya pada 27 April lalu di hospital berkenaan.
“Saya turut difahamkan sebelum kejadian di rumah mereka pada pukul 1 tengah hari Khamis lalu, adik turut mengaku dipukul beberapa kali oleh suaminya di dalam kereta dan ketika berada di rumah kenalan suaminya di Shah Alam, Selangor.
“Adik mengakui suaminya bukan sahaja panas baran tetapi juga sukar menerima pendapat atau pandangan orang malah akan bertindak kasar apabila ditegur,” katanya.
Tambahnya, selepas dimaklumkan suspek berjaya ditahan polis, adiknya turut melahirkan rasa gembira dan berharap dia dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Sejak itu adik tidak lagi dilihat dalam keadaan trauma kerana bimbangkan keselamatan dia dan dua anaknya yang berumur tujuh dan sembilan tahun yang kini dijaga oleh keluarga kami.
“Kami sekeluarga kini dengan bantuan daripada pihak hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses memberi sokongan serta kaunseling kepadanya,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah hospital di sini cedera parah dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran kandungan yang berusia 12 minggu. – UTUSAN











