ARAU: Janji Perikatan Nasional (PN) untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak realistik, disifatkan sekadar janji pilihan raya semata-mata.
Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, janji tersebut tidak masuk akal dan jika dilaksanakan boleh menyebabkan harga beras melonjak sehingga RM60 bagi 10 kilogram.
Katanya, apabila harga beras terlalu tinggi, ia turut membuka ruang kepada kemasukan beras seludup khususnya dari Thailand yang harganya jauh lebih murah.
Beliau berkata, daripada menjanjikan harga belian padi kepada RM3,000 yang bakal memberi kesan kepada keseluruhan rantaian padi dan beras negara, adalah lebih baik dipertimbangkan kenaikan subsidi harga padi kepada pesawah dari RM500 kepada RM1,500.
“Tidak masuk akal (belian padi RM3,000) kerana ia sememangnya sukar untuk direalisasikan. Sekarang harga beras sekitar RM28 ke RM32 iaitu pada ketika harga belian padi sekitar RM1,500 ke RM1,800.
“Jika RM3,000, harga beras boleh melonjak sehingga RM60 atau lebih. Bukan sekadar harga beras naik, ia turut memberi kesan kepada kenaikan harga barangan lain. Jangan bagi harapan terlalu tinggi kepada pesawah ia akan menyebabkan pesawah terus terhimpit.
“Jika boleh dilaksanakan, sudah tentu mana-mana kerajaan sebelum ini sudah lakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, PN menjanjikan harga lantai belian padi kepada RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas PRU16.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, janji itu mampu dilaksanakan kerana harga semasa ketika ini iaitu RM1,500 per tan metrik tidak banyak berbeza dengan tuntutan dimahukan para pesawah.
Takiyuddin berkata, penetapan harga lebih stabil akan berupaya memperhebat aktiviti penanaman padi menjadi semakin produktif disamping bantuan lain kepada petani.
Sementara itu, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 63, menegaskan, sekiranya pesawah mengadakan sebarang perhimpunan, jangan dibenarkan atau ia membuka ruang kepada orang politik menunggang isu pesawah ini.
Katanya, biar pesawah menguruskan masalah atau isu berbangkit melalui persatuan atau pertubuhan yang ada.
“Apabila orang politik masuk, mereka menjanjikan sesuatu yang agak tidak realistik. Malah, janji harga belian padi kepada RM3,000 itu, sangat tidak masuk akal sama sekali. Naikkan dulu harga belian padi kepada RM2,000 sebelum hendak pergi lebih jauh kepada RM3,000.
“Jika RM3,000 sekali pun, dalam keadaan ketika ini, pesawah tetap terbeban. Lebih baik, kerajaan menaikkan subsidi, lebih masuk akal,” katanya. – UTUSAN











