SEBAGAI anak Selangor yang pernah diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dan Ahli Parlimen Sungai Besar, saya melihat perkembangan politik Selangor sesuatu yang menarik. Petua penting dalam pentadbiran ialah seseorang menteri besar tidak wajar dilihat terlalu lama berada di kerusi kuasa.
Ia bukan soal Datuk Seri Amirudin Shari tidak bagus sebagai Menteri Besar. Sebaliknya, selepas dua penggal memimpin negeri paling maju di negara ini, masanya juga mungkin sudah tiba untuk Amirudin dibawa ke pentas nasional, sama ada dalam Kabinet Persekutuan atau peranan strategik lain yang lebih besar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Melihat kemelut hubungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan, peranan cekap Amirudin mengimbangi dan mengurus dinamik hubungan kedua-dua parti gabungan tersebut di Selangor adalah aset amat bernilai bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Malah tindakan Amirudin yang menyelar kenyataan Dr. Sathia Prakash dari PKR baru-baru ini yang mahu UMNO dibuang dari Kerajaan Perpaduan memberi nafas baharu terhadap hubungan dinamik UMNO dan PH di Selangor.
Tindakan Amirudin itu juga dilihat pelbagai pihak sebagai matang dan bijaksana dalam membaca politik semasa. Beliau adalah sosok terbaik untuk membantu Anwar bagi memperkasa pentadbiran Persekutuan.
Bagi PH, persoalan pengganti Amirudin mungkin berlegar sekitar dua nama utama iaitu Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan bekas Menteri Kewangan yang kini menjadi Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Nurul Izzah membawa kekuatan politik yang tidak dimiliki ramai pemimpin PKR lain. Beliau bukan sahaja Timbalan Presiden parti tetapi simbol kesinambungan reformasi dan antara tokoh paling kanan dalam PKR yang ketika ini tidak memegang jawatan eksekutif utama dalam kerajaan. Dalam keadaan PKR memerlukan wajah baharu untuk Selangor, nama Nurul Izzah mempunyai nilai politik yang besar.
Namun sebagai orang nombor dua PKR, ruang politik beliau seharusnya lebih luas daripada sekadar pentadbiran negeri, apatah lagi adakah Selangor bersedia untuk seorang menteri besar wanita? Justeru, PKR dijangka lebih cenderung mengangkat Tengku Zafrul sebagai wajah utama parti di Selangor menjelang PRU atau pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tengku Zafrul mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat, pernah mengurus portfolio penting di peringkat Persekutuan dan memiliki hubungan baik dengan pelbagai institusi, termasuk istana. Dalam politik Selangor, faktor ini bukan kecil.
Namun harus diingat, Tengku Zafrul merupakan bekas ahli UMNO yang kini menyertai PKR. Dinamik hubungan UMNO dan PKR di Selangor yang baik kini di bawah Amirudin berpotensi tercalar andainya keadaan ini berlaku. Apatah lagi, ada suara skeptikal dalam PKR sendiri terhadap kehadiran segera Tengku Zafrul.
Jika PKR mahu mengekalkan kerusi menteri besar tetapi pada masa sama menampilkan generasi baharu yang tidak terlalu membebankan parti dengan persaingan nama besar, Saipolyazan M. Yusop wajar diperhatikan.
Beliau memimpin Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Selangor dan dikaitkan dengan usaha transformasi korporat negeri.
Kekuatan Saipolyazan terletak pada imej pengurusan, pentadbiran dan keupayaan mengendalikan entiti strategik ekonomi kerajaan negeri.
Dalam sebuah negeri seperti Selangor, pengalaman mengurus aset, pelaburan dan syarikat berkaitan kerajaan adalah kelebihan besar. Beliau juga bekas calon PKR untuk Parlimen Sungai Besar pada PRU lalu.

PARTI LAIN JUGA MEMPUNYAI CALON
Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, calon dari UMNO pula tidak boleh dikesampingkan. Datuk Megat Zulkarnain Omar Din selaku Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Selangor dilihat sebagai tokoh matang dalam politik Selangor yang mampu menyatukan ‘war lord’ sedia ada.
Sisi lain tokoh muda yang tidak boleh ditinggalkan ialah Datuk Rizam Ismail yang sudah berada dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan menjaga pembangunan luar bandar dan kelestarian kampung tradisional.
Namun calon menteri besar Selangor bukan sekadar dari PH. Perikatan Nasional (PN) yang kini menjadi pembangkang terbesar juga tidak boleh dipandang ringan. Jika PH gagal membaca sentimen pengundi Melayu, terlalu selesa dengan rekod lama atau tersilap mengurus hubungan dengan Istana, PN berpotensi merampas Selangor dalam pilihan raya akan datang.
PN pula tidak kekurangan calon menteri besar. Nama paling besar sudah tentu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin bukan sekadar memahami angka politik tetapi juga selok-belok pentadbiran negeri, struktur penjawat awam, syarikat berkaitan kerajaan negeri dan denyut politik akar umbi.
Dalam perbahasan Dewan, beliau sering tampil sebagai figura pembangkang yang paling bersedia, paling yakin dan paling mampu mencabar kerajaan negeri secara substantif.
Namun persoalannya ialah sama ada PN, khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), benar-benar bersedia kembali mempertaruhkan nama Mohamed Azmin sebagai wajah utama, atau mahu menampilkan calon baharu yang lebih segar dan kurang membawa beban politik masa lalu.
Nama Mohamed Azmin juga tercalar setelah tewas di Gombak pada PRU lalu dengan majoriti yang signifikan.
Di sinilah nama Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri mula relevan. Sebagai tokoh Pas Selangor, beliau mempunyai imej lebih tenang, berlatar agama dan akademik, serta boleh menjadi pilihan sekiranya PN mahu menampilkan wajah pentadbiran Melayu-Islam yang lebih sederhana, stabil dan tidak terlalu kontroversial.
Jika Mohamed Azmin menawarkan pengalaman dan ketangkasan politik, Ab. Halim pula menawarkan imej wibawa, disiplin organisasi dan penerimaan dalam kalangan pengundi konservatif Melayu.
Dalam senario PN menang Selangor, perebutan halus antara formula Mohamed Azmin dan formula Pas akan menjadi antara persoalan paling penting.
Siapa pun yang berlegar di fikiran kita, kembali merujuk kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (1959), bahawa Sultan Selangor melantik menteri besar yang pada pandangan baginda mendapat kepercayaan ahli Dewan Selangor. Restu baginda sangat penting.
Semoga pemimpin yang akan mengemudi Selangor akan terus memakmurkan dan mensejahterakan negeri ini kelak. –UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah penganalisis media dan propaganda.










