Pas penentu nasib kem Hamzah dalam PN

Pas penentu nasib kem Hamzah dalam PN

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menjadi penentu utama sama ada kem Datuk Seri Hamzah Zainudin diterima dalam Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

Pada masa sama, langkah itu berisiko memberi tekanan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, kemasukan parti atau entiti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah ke dalam PN boleh mencetuskan perebutan kerusi, khususnya di kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini ditandingi Bersatu.

Katanya, Bersatu dijangka menjadi parti paling terkesan kerana kem Hamzah dilihat lebih rapat dengan Pas, sekali gus berpotensi meningkatkan kuasa tawar-menawar dalam gabungan itu.

“Jika parti baharu diterima masuk dalam PN, yang paling terkesan ialah Bersatu kerana isu utama selepas ini ialah pembahagian kerusi.

“Sudah pasti sebahagian kerusi Bersatu sebelum ini akan diperuntukkan kepada parti baharu Hamzah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, isu ‘rumah baharu’ Hamzah bukan sekadar percaturan politik, sebaliknya berpotensi menjadi ujian terhadap hubungan Pas dan Bersatu dalam gabungan pembangkang tersebut.

Perkembangan itu timbul ketika kedudukan Hamzah terus menjadi perhatian susulan kemungkinan beliau membawa haluan politik baharu, namun masih mahu kekal dalam blok pembangkang.

Mazlan berkata, situasi itu berkemungkinan mewujudkan tiga blok Melayu utama dalam PN iaitu Pas, Bersatu dan parti Hamzah.

Katanya, keadaan tersebut bukan sahaja mencabar kedudukan Bersatu, malah memberi ruang kepada Pas untuk mengemukakan tuntutan lebih besar dalam gabungan itu.

“Pas akan melihat Bersatu semakin lemah dan boleh membuat beberapa tuntutan supaya Bersatu akur kepada kehendaknya.

“Pas juga boleh memanfaatkan kelemahan yang ada pada Muhyiddin untuk terus memberi tekanan kepada Bersatu kerana Hamzah memerlukan sokongan Pas,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub pula berkata, Bersatu parti paling terkesan sekiranya kem Hamzah diterima menyertai PN.

“Saya berpandangan Bersatu akan terkesan apabila parti atau entiti baharu Hamzah diterima masuk ke dalam PN.

“Namun, bukan mudah kem Hamzah dicalonkan dalam pilihan raya kerana Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu dijangka menghalang kem tersebut daripada mengambil kuota kerusi mereka,” katanya.

Beliau berkata, Pas juga berdepan risiko kerugian politik sekiranya perlu mengurus ketegangan antara Bersatu dan kem Hamzah khususnya dalam rundingan kerusi menjelang PRU-16.

“Pilihan lebih selamat ialah PN tidak menyerahkan kerusi kepada kem Hamzah pada PRU16 bagi memberi ruang menenangkan keadaan serta mengelakkan pergolakan dalaman yang boleh menjejaskan kestabilan gabungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×