Putra sasar satu kerusi Parlimen, tiga DUN setiap negeri

Putra sasar satu kerusi Parlimen, tiga DUN setiap negeri

IBRAHIM ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah awal ke arah itu sudah pun diambil apabila parti tersebut secara rasmi memohon menyertai gabungan berkenaan.

Katanya, keputusan berhubung permohonan itu dijangka diketahui dalam masa terdekat sekali gus membuka laluan kepada Putra untuk bergerak dalam kerangka politik lebih tersusun.

“Insya-Allah, kita harap permohonan ini diluluskan. Jika diterima, Putra akan bertanding di bawah panji PN pada PRU16,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program Himpunan Bantah Kenaikan Harga Minyak di Dataran Temerloh di sini, semalam.

Ibrahim berkata, sebagai parti komponen, Putra akan mematuhi sepenuhnya pembahagian kerusi yang ditentukan kepemimpinan PN.

“Kita sedar kedudukan sebagai parti baharu. Soal kerusi bukan kita tentukan sendiri sebaliknya perlu akur kepada keputusan pimpinan gabungan,” ujarnya.

Mengulas sasaran awal, beliau berkata, Putra realistik dalam meletakkan matlamat dengan memberi tumpuan kepada pembinaan tapak politik secara berperingkat.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di setiap negeri manakala di peringkat DUN, dua ataupun tiga kerusi. Itu sasaran minimum yang munasabah untuk kita bina kekuatan. Kalau dapat lebih, itu bonus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat negeri tertentu yang tidak ditandingi Putra bagi menghormati kekuatan sedia ada parti lain dalam PN.

“Ada negeri kita mungkin tidak bertanding seperti Terengganu, kita tidak mahu ganggu kawasan yang sudah kukuh di bawah parti lain. Kita ambil pendekatan saling melengkapi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×