ALOR SETAR: Kira-kira 90 peratus pesawah di negeri ini termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih menangguhkan aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2026 susulan kos operasi yang kekal tinggi dan kekangan bekalan air.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, situasi semasa itu bukan sahaja menjejaskan jadual penanaman, malah berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap tahap sara diri beras (SSR) negara.
“Masalah utama adalah paras air empangan yang rendah. Empangan Muda masih pada tahap kritikal dan keutamaan diberikan kepada kegunaan domestik, bukan pengairan untuk padi.
“Malah, seandainya air dilepaskan dalam waktu terdekat ini sekali pun pesawah tetap tidak mampu mengusahakan sawah kerana kos yang terlalu tinggi,” katanya selepas Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi, semalam.
Himpunan tersebut kali ketiga dianjurkan di negeri ini bagi menyuarakan realiti kesukaran yang dihadapi pesawah yang mengerjakan tanaman di kawasan jelapang padi.
Ujar Abdul Rashid, kos penggunaan jentera seperti traktor meningkat sehingga 66 peratus, manakala kos mesin menuai pula sekitar 38 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan kos operasi melonjak lebih 50 peratus.
“Ini belum termasuk kos baja dan input lain. Dalam keadaan harga padi dan beras masih tidak berubah, pesawah tidak mampu menanggung beban ini.
“Kalau harga padi naik, harga beras juga perlu diselaraskan, atau kerajaan perlu campur tangan bagi menstabilkan keadaan,” katanya.
Tambahnya, hujan yang berlaku sejak beberapa hari lalu masih belum mencukupi untuk memulihkan keadaan tanah dan sistem pengairan.
“Kita perlukan taburan hujan yang lebih tinggi untuk memulihkan kelembapan tanah serta memastikan bekalan air di tali air mencukupi. Buat masa ini, keadaan masih belum mengizinkan untuk pesawah memulakan penanaman walaupun sudah memasuki bulan Mei,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi menangani isu kos demi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.
“Seperti kita menjaga kedaulatan negara, begitu juga kita perlu menjaga kedaulatan makanan. Beras adalah makanan asas rakyat, dan pesawah adalah benteng utama dalam memastikan bekalan itu mencukupi,” katanya. – UTUSAN










