MdS Food Industry manfaat sijil halal, perkukuh jualan

MdS Food Industry manfaat sijil halal, perkukuh jualan secara digital

MD SHUKOR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MdS Food Industry memperkukuh jualan dalam talian sebagai strategi utama memperluas pasaran produk makanan halal ke seluruh negara, selari dengan peningkatan permintaan terhadap makanan sedia dimakan (RTE) yang berkualiti, tahan lama dan diyakini pengguna.

Pengasasnya, Md Shukor Johari berkata, pensijilan halal yang diperoleh pada 16 Mac 2023 menjadi pemangkin penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna serta mengukuhkan kedudukan jenama di pasaran.

“Status halal bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna beragama Islam, malah berfungsi sebagai penanda aras kualiti dan kebersihan yang turut diyakini pengguna bukan Islam.

“Pensijilan halal memberi kelebihan besar kepada kami untuk memperluaskan pasaran, khususnya dalam platform dalam talian kerana pengguna kini lebih peka terhadap aspek keselamatan makanan dan pematuhan syariah,” katanya.

Beliau yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Yusniaziah Sharuddin, berkata, selain memperkukuh saluran digital, syarikat turut merancang untuk menembusi rangkaian runcit lebih besar seperti pasar raya, stesen minyak dan kiosk terpilih.

“MdS Food Industry merupakan perusahaan makanan dan minuman berasaskan keluarga yang bermula secara kecil-kecilan dengan fokus kepada penghasilan produk makanan siap dimakan yang praktikal, mudah disimpan dan sesuai dengan gaya hidup moden.

“Seiring perkembangan perniagaan kami, syarikat kini menghasilkan lebih 40 jenis produk merangkumi lauk-pauk, sambal, nasi serta pes masakan, termasuk menu seperti masak lemak daging, asam pedas daging minang, paru berlada, ayam rendang dan nasi lemak.

“Penggunaan teknologi retort juga menjadi kelebihan utama syarikat kerana membolehkan produk tahan sehingga dua tahun tanpa menjejaskan rasa dan kualiti, sekali gus menyokong pengedaran ke pasaran lebih luas termasuk melalui e-dagang,” jelasnya. 

Beliau berkata, perniagaan itu berkembang secara berperingkat hasil sokongan pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan abung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional melalui bantuan geran latihan serta pembiayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, MdS Food Industry turut menawarkan perkhidmatan pengeluaran peralatan asal (OEM) kepada usahawan kecil dan sederhana yang ingin membangunkan produk makanan halal di bawah jenama sendiri.

“Perkhidmatan ini merangkumi pembangunan produk, pemprosesan menggunakan teknologi retort, pembungkusan serta sokongan mendapatkan pensijilan halal dan MeSTI, sekali gus membantu usahawan mengembangkan perniagaan secara lebih sistematik,” katanya.

Mengulas lanjut, Md Shukor berkata, proses mendapatkan sijil halal memerlukan komitmen tinggi terutama dari segi dokumentasi, pematuhan prosedur serta penambahbaikan sistem operasi.

“Bagaimanapun, cabaran ini memberi nilai tambah kepada kami kerana ia membantu memperkukuh kawalan kualiti, sistem pengurusan dan amalan kebersihan dalam operasi harian.

“Selepas memperoleh sijil halal, kami melihat peningkatan keyakinan pelanggan terhadap produk yang dihasilkan, sekali gus menyokong pertumbuhan jualan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×