Pendekatan 'lapuk' tidak akan membantu UMNO - Muhamad Akmal

Pendekatan ‘lapuk’ tidak akan membantu UMNO – Muhamad Akmal

MUHAMAD Akmal Saleh berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengubah pendekatan untuk memperoleh sokongan anak muda dan kembali mendominasi arena politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pendekatan yang sudah ‘lapuk’ tidak akan membantu parti meraih sokongan pengundi muda sebaliknya UMNO perlu keluar ‘kepompong’ dan menyelami pendekatan baharu.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini termasuk di Nenggiri, Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas yang menyaksikan UMNO memperoleh kemenangan.

“Kita kena ubah pendekatan dan cara mendekati rakyat, cara kita mendekati orang muda juga mesti berubah. Kita tidak boleh guna pendekatan 80 tahun lepas kepada orang muda.

“Kita tidak boleh anggap orang muda akan datang hanya kerana kita UMNO, zaman dulu kalau orang Melayu tidak dapat masuk dalam UMNO, dia rasa salah tetapi bukan pada hari ini, jangan rasa kita parti paling lama, orang muda nak duduk dalam kita jika kita tidak dekat dengan mereka,” katanya berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, golongan muda mahu tahu apa yang mereka akan dapat dan tentang masa depan sekiranya memberi sokongan kepada UMNO.

“Paling penting, orang muda tidak mahu nostalgia semata-mata. Ya, sejarah UMNO 80 tahun, okay kita hargai tetapi apa seterusnya? Orang muda mahu tahu apa perancangan kita untuk mereka.

“Orang muda nak tahu apa yang kita tawarkan kepada mereka dalam pilihan raya,” katanya.

Tambahnya, Pemuda UMNO akan melakukan jelajah ke setiap negeri untuk bertemu generasi muda bagi memberitahu tawaran parti kepada mereka sekiranya kembali menjadi kerajaan penuh.

“Kita tidak pergi negeri orang untuk bercakap tentang orang itu dan ini, kita pergi untuk beritahu apa yang kita tawarkan lebih baik untuk orang muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×