Isu kandang babi di Selangor: Demi keadilan atau keuntungan

Isu kandang babi di Selangor: Demi keadilan atau keuntungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAYA hilang dari radar bukan tak berkhabar, rupanya tak tercerita. Begitulah di Selangor, di sebalik kesibukan negara dan negeri-negeri lain mengurus isu. Di sini macam diam, rupanya masalah menjadi-jadi.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah agar ladang babi tidak lagi diwujudkan di Selangor. Baginda juga menitahkan supaya ladang sedia ada, termasuk yang terletak di Tanjong Sepat yang dikaitkan dengan pelbagai masalah, ditutup.

Ingat selesailah apabila umat Islam boleh memasuki Ramadan dengan lebih tenang tanpa ada isu-isu sensitif dan remeh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiba-tiba selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026, rupanya ramai yang ‘merengek’.

Tidak cukup yang merungut, ahli politik pun ikut sama ‘merengek’ kerana ladang babi tidak boleh dibina di Selangor sampai berdukacita terhadap titah baginda sedangkan tuanku sudah pun maklum kenapa tidak boleh.

Malah, si politikus wanita itu pula kata tiada hak sama rata. Sebenarnya timbul juga persoalan, apa yang rata? Apa yang sama pasal ladang babi?

Lebih menyedihkan, ketika perbahasan, tiada seorang pun ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti kerajaan membantah atau menegakkan dengan tegas titah Sultan Selangor. Pembangkang pula hujung ke hujung menembak sampai dua ahli digantung tiga hari.

Jangan rujuk Perlembagaan Persekutuan, rujuk dulu yang sama dan yang rata pada amalan masyarakat umum di negara ini sama ada Islam atau beragama lain.

Kita ambil pendekatan yang ‘terpaling’ dekat iaitu restoran atau kedai makan. Di Malaysia, di negeri atau daerah mana sekali pun mesti ada kedai mamak, sama ada Al-Barokah, Al-Barakah, Yasseemm, Juwairiyyah dan sebagainya dari nama dalam bahasa Arab sampailah bahasa Sepanyol, kapitan!

Pernah tak kita terfikir, betapa untungnya pemilik kedai mamak ini, jual makanan dan minuman halal, letak meja banyak-banyak dalam ruangnya yang luas, selalunya dekat lot tepi, supaya ramai orang boleh datang.

Yang datang pula bukan setakat Melayu sawo matang. Semua jenis manusia ada, baik budak Cina yang baru balik badminton atau orang India yang sudah habis kerja, Melayu tak usahlah cakap, mesyuarat kerja pun di kedai mamak.

Kemudian, keadaan lebih meriah apabila ada perlawanan bola sepak oleh pasukan-pasukan gergasi atau acara-acara tumpuan. Lepak kedai mamak, semua hendak tengok. Kadang-kadang terfikir, bola atau kedai mamak yang menyatukan rakyat Malaysia?

Itulah sebenarnya hak kesamarataan. Jadi, dekat ‘celah’ mana hak sama rata kalau sesuatu kaum sahaja yang boleh nikmati? Orang Islam tak boleh bela apatah lagi makan babi, kalau darurat pun, itu adalah makanan yang terakhir.

Kalau bela ayam, gembala lembu atau kambing, semua orang boleh buat tanpa mengira agama apa pun. Orang India di Malaysia pun bela lembu untuk dijual kepada orang Islam seterusnya disembelih korban.

Apabila sesuatu perkara itu dibenarkan kepada semua pihak, maka barulah wujud kesamarataan secara menyeluruh. Oleh itu, sekiranya pembinaan ladang babi tidak dibenarkan, ia mungkin dilihat sebagai tidak seimbang dari sudut pelaksanaan.

Namun begitu, pada hakikatnya masih wujud aspek keadilan, apabila Sultan Selangor sendiri mencadangkan agar sumber makanan bagi masyarakat bukan Islam boleh diimport untuk memenuhi keperluan mereka. Dengan demikian, keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut masih dapat dipenuhi.
Tak perlulah kecewa sangat sampai wakil rakyat pun terikut-ikut dengan emosi itu kononnya membawa suara rakyat. Tuanku titah, ladang babi dilarang sebab isu pencemaran akibat ternakan di Tanjong Sepat itu berpuluh tahun isunya.

 

 

Utusan Malaysia pernah melaporkan isu ini. Pihak kami berhabis ribuan ringgit mengambil sampel air untuk dihantar ke makmal bagi tujuan analisis kandungan serta tahap keselamatannya. Hasil ujian mendapati air tersebut tidak selamat untuk dilepaskan ke laut. Natijahnya, nelayan dan penduduk setempat yang bergantung kepada hasil laut di perairan berhampiran turut menjadi mangsa pencemaran tersebut.

Malah, terdapat pihak yang begitu ‘beria’ hendak membina ladang babi sehingga ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, walaupun masyarakat sudah mula menyedari isu dan masalah sebenar yang timbul.

Antara risiko paling besar yang dibimbangkan ialah pencemaran air dan udara yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat.

Moden dan berteknologi macam mana sekali pun, dulu tapak pelupusan sampah dekat sana pun dibilang begitu juga. Akhirnya sampai hari ini masalah bau kerap merundung penduduk sekitar.

Bayangkan kalau dibina ladang babi di Bukit Tagar, ada ke jaminan anak-anak sungai yang mengalir jernih di kampung-kampung estet tempat tinggal ramai masyarakat India tidak akan terjejas?

Adakah jaminan empangan Sungai Tinggi kekal bersih jika ladang babi yang kononnya berteknologi tinggi dengan pengurusan sisa kendiri atau sifar pelepasan sisa?

Atau sudah tidak peduli, waima dengan titah sultan sekali pun sebab bisnes ladang babi merupakan perniagaan yang sangat menguntungkan. Babi sekali beranak sehingga 10 ekor, setahun boleh beranak lebih dari sekali. Berapa banyak untung?

PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Selangor.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini