Dua jam tempoh temui jemaah haji hilang

Dua jam tempoh temui jemaah haji hilang

AZRISHAM Mahmad bersama petugas haji membantu urusan khidmat pelanggan jemaah di Hotel Al-Tayseer, Mekah, Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Tempoh dua jam ditetapkan bagi memastikan jemaah haji Malaysia yang tersasar selepas menunaikan ibadah di Masjidil Haram dapat dibantu dan dihantar pulang ke penginapan masing-masing.

Langkah itu sekali gus memberi jaminan kepada ahli keluarga di tanah air bahawa kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan, tanpa perlu berasa bimbang sekiranya berlaku situasi jemaah terpisah atau tersasar.

Pengurus Unit Khidmat Pe­langgan Operasi Haji, Azrisham Mahmad berkata, langkah itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan kebajikan jemaah dilindungi sepanjang berada di Tanah Suci.

Katanya, proses mengesan jemaah akan dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima maklumat daripada pusat panggilan mengenai jemaah yang tidak mengetahui arah pulang ke hotel selepas menunaikan umrah di Masjidil Haram.

“Kes tersasar biasanya berlaku ketika jemaah kali pertama menunaikan umrah dan masih belum biasa dengan persekitaran di Mekah. Namun, jika berdepan situasi ini, jemaah boleh menghubungi pusat panggilan pada bila-bila masa.

“Sebaik sahaja Unit Khidmat Pelanggan menerima maklumat, pasukan peninjau yang ditempatkan di sekitar Masjidil Haram akan digerakkan untuk mencari dan membantu jemaah kembali ke hotel penginapan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Azrisham, setiap aduan yang diterima dikategorikan kepada tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan berat, dengan tempoh penyelesaian berbeza mengikut jenis kes.

“Sebagai contoh, kes jemaah tersasar perlu diselesaikan dalam tempoh dua jam, manakala aduan kerosakan bagasi diberi tempoh sehingga tiga hari untuk tindakan lanjut.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan sebarang masalah yang dihadapi jemaah tidak menjejaskan tumpuan mereka dalam menunaikan ibadah haji,” katanya.

Tambahnya, antara aduan paling kerap diterima setakat ini melibatkan kerosakan bagasi susulan perjalanan jauh dari Madinah ke Mekah, selain kes jemaah terpisah daripada kumpulan.

“Unit Khidmat Pelanggan menjadi tulang belakang memastikan setiap aduan jemaah dapat diselesaikan dengan segera dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×