Berpaksikan kepada mantera ‘Berkhidmat Untuk Negara” dan “Saya Yang Menjalankan Amanah”, penjawat awam terus memberikan sumbangan yang signifikan dalam proses pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Peranan penjawat awam ini semakin terserlah sejak negara dilanda krisis kesihatan berpunca daripada ancaman pandemik Covid-19.
Tatkala penjawat awam dalam kalangan barisan petugas hadapan bertungkus lumus merawat pesakit dan mengekang penularan wabak, kelompok lain pula terus memastikan sistem perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan berfungsi dengan cekap dan efisien termasuklah dengan cara bekerja dari rumah (BDR).
Sumbangan dan pengorbanan terkini penjawat awam melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sekali lagi membuktikan golongan ini sentiasa bersama rakyat baik ketika senang mahupun susah.
Ini sekali gus menzahirkan manifestasi dan komitmen serta kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan memerangi pandemik Covid-19.
Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali, lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik Covid-19 melalui pengurangan ITK serta ITKA selama tiga bulan berdasarkan gred perkhidmatan yang dianggar dapat mengumpul lebih RM30 juta.
Sumbangan ini akan disalur ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Ironinya sejak negara dilanda wabak ini setahun lebih lalu, sumbangan dan pengorbanan penjawat awam dilihat cukup luar biasa dan menakjubkan.
Hal ini berpunca daripada tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan penjawat awam yang mahu melindungi rakyat dan negara dari ancaman krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang cukup serius.
Ini dengan jelas menunjukkan penjawat awam adalah kumpulan pekerja yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat di samping menyokong agenda kerajaan yang memerintah.
Penjawat awam dari kategori petugas barisan hadapan misalnya, walaupun sedang mengharungi ujian dan cabaran yang cukup berat namun mereka kekal utuh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah.
Jujurnya mereka sudah penat dan letih kerana jumlah kes terus naik dan membimbangkan. Ramai yang terpaksa bekerja siang dan malam dengan mengorbankan waktu rehat mahupun cuti, malah terpaksa mengambil risiko terkena jangkitan kepada diri dan keluarga hanya kerana ingin membantu rakyat dan negara mengekang penularan wabak ini yang sudah menjangkiti lebih daripada 500,000 orang serta telah meragut lebih dari 3,000 nyawa rakyat di negara ini.
Tidak kurang hebatnya juga cabaran dihadapi oleh penjawat awam yang diminta bekerja dari rumah. Masalah capaian internet serta keperluan peranti yang bersesuaian misalnya turut menghantui golongan ini, namun semuanya diharungi dengan cekal demi meneruskan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat seperti biasa.
Pada hakikatnya, walaupun bilangan kehadiran ke pejabat telah dikurangkan mengikut fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mula mengamalkan BDR, sehingga kini perkhidmatan kerajaan tidak sedikitpun terjejas. Rakyat terus menikmati perkhidmatan yang diperlukan, malah BDR dan pendigitalan perkhidmatan awam membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan lebih cekap, cepat dan efisien.
Jelas sekali penjawat awam telah memberikan sumbangan cukup signifikan sepanjang pelaksanaan PKP sejak setahun lalu sehingga sekarang dan yakinlah sumbangan ini akan berterusan sampai bila-bila.
Hal ini dikatakan demikian kerana sumbangan signifikan penjawat awam ini banyak dipengaruhi oleh sikap berkecuali, pemikiran yang matang dan profesional serta kesedaran untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan berpaksikan kepada mantera “Berkhidmat Untuk Negara” yang dilihat menjadi pegangan setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.
Ringkasnya, penjawat awam adalah nadi dan tulang belakang kejayaan kerajaan yang memerintah terutamanya dalam menjaga kebajikan dan melindungi keselamatan rakyat.
Ironinya, kita sedar krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang melanda negara masih belum berakhir sepenuhnya, namun kebajikan dan keselamatan rakyat perlu terus dipelihara dan diutamakan.
Maka dalam hal ini hanya penjawat awam yang mampu menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat terutamanya dalam konteks melaksanakan semua inisiatif dan menyampaikan bantuan yang kerajaan sediakan.
Buktinya, sehingga kini, pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan rakyat menerima manfaat besar.
Justeru diharapkan agar pihak kerajaan dan rakyat akan terus meletakkan kepercayaan dan keyakinan yang penuh kepada penjawat awam agar dapat membantu merealisasikan semua sasaran dan matlamat yang ditetapkan.
Tuntasnya, pelaksanaan PKP dan ancaman pandemik telah membantu menyerlahkan lagi peranan dan sumbangan signifikan penjawat awam.
Akhirnya, seperti kata KSN, semoga segala sumbangan dan pengorbanan yang dilaksanakan oleh penjawat awam ini akan menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan keluarga.
PENULIS ialah Pentadbir Universiti dan penganalisis isu semasa.











