Mamdani minta Raja Charles 'pulangkan' berlian Koh-i-Noor

Mamdani minta Raja Charles ‘pulangkan’ berlian Koh-i-Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menggesa Raja Charles III supaya ‘memulangkan’ berlian berharga Koh-i-Noor yang diambil oleh Empayar British dari benua kecil India pada tahun 1800-an, ketika hari ketiga lawatan negara Raja Britain itu semalam.

Sebelum menyambut Charles dan Permaisuri Camilla di acara peringatan 9/11, Mamdani ditanya apa yang akan dibincangkannya dengan raja jika diberi peluang.

“Jika saya bercakap dengan raja, secara berasingan daripada itu, saya mungkin akan menggalakkan baginda memulangkan berlian Koh-i-Noor,” katanya sambil menambah tumpuan adalah untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam serangan keganasan tersebut.

Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada Mamdani sempat membangkitkan isu sensitif itu ketika bertemu Raja Charles.

Charles dilaporkan ketawa bersama Mamdani dan berbual seketika selepas mereka berjabat tangan.

Batu permata 106 karat itu yang disimpan di Menara London merupakan berlian utama dalam koleksi diraja Britain, dan dipasang pada Mahkota mendiang Permaisuri Elizabeth.

Pemilikan permata tersebut menjadi pertikaian selama berabad-abad, selepas ia melalui tangan maharaja Mughal, shah Iran dan maharaja Sikh sebelum Kerajaan Punjab menyerahkannya kepada Ratu Victoria pada tahun 1849 sebagai sebahagian perjanjian damai.

India beberapa kali sebelum ini menuntut supaya permata berharga itu dipulangkan, namun tidak berjaya.

Walaupun tidak diragui bahawa berlian itu dilombong di India, sejarahnya selepas itu bercampur antara mitos dan fakta, dengan beberapa negara termasuk Afghanistan, Iran dan Pakistan turut menuntut hak ke atas permata tersebut.

Seorang ahli politik daripada parti Reform UK yang berhaluan anti-imigrasi menyelar kenyataan itu sebagai ‘penghinaan terhadap Raja’.

“Berlian indah ini kini dipamerkan di Menara London. Ia akan kekal di sana,” kata jurucakap hal ehwal dalam negeri parti itu, Zia Yusuf, dalam hantaran di platform X. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×