KUALA TERENGGANU: Kira-kira 600 kilometer (km) paip diklasifikasikan sebagai kritikal yang mendorong kepada peningkatan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.
Faktor-faktor lain adalah disebabkan kadar kebocoran paip yang tinggi, ketidaktepatan bacaan meter akibat meter rosak atau meter berusia, penggunaan atau sambungan air secara haram dan kelewatan pembaikian bocor pecah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, penyumbang utama peningkatan kadar NRW adalah keadaan semasa paip air yang berusia dan uzur.
“Paip air kategori kritikal ini kerap pecah atau bocor dan perlu diganti segera. Jumlah ini semakin meningkat saban tahun.
“Bagi 2025, jumlah kerugian akibat kehilangan air (NRW) adalah RM200 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, Malaysia dianggarkan menanggung kerugian melebihi RM4 bilion daripada 33.4 peratus kadar NRW melibatkan Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2008 iaitu sekitar RM1.4 bilion, akibat air terawat yang tidak memberi pulangan kepada negara.
Kerajaan juga perlukan lebih RM40 bilion bagi menggantikan sistem perpaipan membabitkan kira-kira 40,000 km paip yang dikategori usang di Semenanjung Malaysia dan Labuan.
Menurut Hanafiah, bagi mengawal NRW, kerja kawalan dan pemantauan dilakukan setiap hari antaranya seperti program mencari kebocoran, pembaikan pecah bocor dan penggantian paip berusia serta uzur.
Selain itu katanya, kerja-kerja pengurusan tekanan dilakukan bagi mengurangkan kebocoran halus dan tersembunyi, kawalan paras tangki air bagi mengelak limpahan, kawalan pengeluaran air di loji dan penggantian meter rosak serta berusia bagi mengurangkan kehilangan komersial.
“Pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas akaun pengguna turut dilakukan bagi mengelakkan kes kecurian air.
“Sebanyak RM600 juta diperlukan bagi program penggantian paip kritikal manakala bagi kerja kerja rutin lain seperti pembaikan dan program kawalan NRW yang dilakukan setiap hari, kosnya adalah kira-kira RM20 juta setahun,” katanya. – UTUSAN











