PETALING JAYA: Malaysia bakal berdepan Jepun yang disifatkan pencabar sebenar dalam aksi terakhir Kumpulan B dan wakil perseorangan negara, Lee Zii Jia mahukan kemenangan bagi memburu status sebagai juara kumpulan pada Piala Thomas di Horsens, Denmark, hari ini.
Bekas bintang No. 2 dunia itu berkata, menjadi juara Kumpulan B mungkin akan memberi kelebihan buat Malaysia apabila undian semula dilaksanakan sebaik pusingan awal selesai.
“Ya, pastinya kami akan cuba memenangi perlawanan tersebut dan menjadi juara kumpulan. Ia mungkin memberikan satu kelebihan,” katanya.
Namun, di sebalik hasrat Zii Jia tersebut, terselit kebimbangan terhadap prestasi semasa pemain No. 25 dunia, Leong Jun Hao selaku perseorangan pertama.
Pemain itu mempamerkan aksi longlai sewaktu berdepan wakil Finland, apabila tewas mengejut di tangan pencabar yang hanya menghuni ranking ke-60 dunia, Joakim Oldorff 17-21, 15-21 dalam masa 43 minit.
Tumpas kepada wakil Finland pada Piala Thomas, bukanlah kebiasaan yang dilakukan pemain negara, sehingga membangkitkan kemarahan peminat terhadap persembahan buruk pemain itu.
Bagaimanapun, Zii Jia berkata, dia masih percaya Jun Hao akan bangkit kerana Piala Thomas merupakan acara berpasukan dan apa sahaja boleh terjadi.
“Ini adalah acara berpasukan. Anda mungkin kalah hari ini dan anda mungkin menjadi wira esok. Kita tidak akan tahu. Jadi saya masih percaya kepada rakan sepasukan saya, seperti yang saya katakan, terutamanya Justin dan Jun Hao.
“Walaupun mereka kalah satu perlawanan, saya tidak rasa ia akan menjejaskan keyakinan kami terhadap mereka.
“Saya masih mempunyai kepercayaan kepada mereka bahawa mereka akan memberikan persembahan yang sangat baik menjelang pertemuan menentang Jepun nanti,” katanya.
Skuad lelaki negara tidak mempunyai pilihan melainkan tetap mempertaruhkan Jun Hao sebagai perseorangan pertama, dengan Justin di posisi kedua dan Zii Jia di kedudukan No. 3 disebabkan ranking dunia mereka.
Untuk memburu kemenangan ke atas Jepun, keputusan 3-2 paling realistik menerusi dua beregu dan salah satu daripada tiga perseorangan diwajibkan mencuri satu mata. – UTUSAN










