Mana Sikana dianugerah Sasterawan Negara ke-16

Mana Sikana dianugerah Sasterawan Negara ke-16

ALLAHYARHAM Abdul Rahman Napiah telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tokoh kesusasteraan Melayu moden, Allahyarham Abdul Rahman Napiah atau nama penanya, Mana Sikana dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, sekali gus dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan ketokohan Allahyarham sebagai sastera­wan yang prolifik dan konsis­ten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.

Menurutnya, sumbangan Mana Sikana merangkumi pelbagai genre termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial.

Kata beliau, karya-karya Allahyarham juga sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.

“Keputusan panel berhubung pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 telah dibuat pada 14 April 2025. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2025, iaitu selepas keputusan penilai­an dimuktamadkan.

“Dalam hal ini, adalah pen­ting untuk ditegaskan bahawa asas penilaian Anugerah Sastera Negara adalah terhadap sumbangan karya dan pemikiran tokoh sepanjang ha­yatnya.

“Walaupun jasad tokoh te­lah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat serta gene­rasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara dilaksanakan secara teliti dan menyeluruh berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Menurut Fadhlina yang juga Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-16, penilaian itu merangkumi sumbangan tokoh melalui karya kreatif dan pemikiran, peranan dalam pengembangan sastera, impak terhadap penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera serta penghargaan dan pengiktirafan yang diterima.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 2026 telah meluluskan pindaan terhadap Tatacara Kerja Anugerah Sastera Negara. Pindaan ini memboleh­kan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau pemilihan, masih layak dinilai dan dipertimbangkan untuk menerima anugerah ini.

“Dalam konteks ini, penilaian Anugerah Sastera Negara turut mengambil kira keseluruhan sumbangan sepanjang hayat tokoh,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke- 16, kerajaan akan memberikan penghargaan dan penghormatan negara kepada waris Allahyarham.

Ia termasuk Warkah Penghormatan Negara, wang tunai sebanyak RM60,000 serta penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan kepada sekolah, perpustakaan serta jabatan dan agensi kerajaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×