JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran di Taman Mount Austin, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Kok Chek, 45; dan dua warga Indonesia, Hendrik Dwi Setyawan, 38; dan Maulana Bachrudin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh mencapai niat bersama menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 12,789 liter dalam sebuah tangki dan sebanyak 89 liter di dalam tangki IBC tanpa kebenaran pengawal bekalan untuk penyimpanan tersebut pada pukul 4.09 pagi di sebuah premis di Jalan Mutiara Emas 7/4, Taman Mount Austin, di sini, pada Khamis lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara dalam tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Nur Sulehan Abd. Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.
Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh warga tempatan diberikan jaminan RM100,000 manakala tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh warga asing kerana tidak memiliki pasport dan berdepan risiko melarikan diri.
Mohamad Azrulsani bagaimanapun memohon jaminan minima buat anak guamnya yang bekerja menguruskan kebun ubi kayu dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh warga Indonesia dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru setelah tidak dibenarkan jaminan selain menetapkan tarikh 3 Jun untuk sebutan semula. – UTUSAN










