KUALA LUMPUR: Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) iaitu KD Maharaja Lela, dijangka akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelang Disember tahun ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata, pembinaan lima kapal LCS oleh Lumut Naval Shipyard (Lunas) kini mencapai kemajuan 76.88 peratus dan berjalan mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan kesiapsiagaan armada sentiasa berada pada tahap optimum.
Katanya, kapal kedua dan ketiga, iaitu Raja Muda Nala serta Sharif Mashor pula dijadualkan diserahkan pada April dan Disember 2027.
“Pembangunan aset strategik itu mencerminkan komitmen berterusan memperkukuh keupayaan tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Ketika ini, antara projek utama TLDM ialah pembinaan lima kapal LCS, tiga kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), serta perolehan dua kapal Multi-Role Support Ship (MRSS),” katany.
Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Timbalan Panglima Tentera Laut yang dibacakan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, di sini hari ini.
Sebelum ini, LCS1, KD Maharajalela yang juga aset pertahanan pertama dihasilkan secara domestik akhirnya melakukan pelayaran sulungnya, pada 28 Januari lalu.
Pencapaian penting industri pertahanan maritim negara itu diketuai pasukan tempatan berbakat serta disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), Azhar Jumaat.
Tambah Badaruddin, pembinaan tiga kapal LMSB2 di Istanbul Shipyard, Turkiye turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencapai kemajuan sebanyak 47.9 peratus setakat ini.
Katanya, kapal LMSB2 berkenaan dijangka diserahkan secara berperingkat bermula Oktober hingga Disember 2027, dengan majlis penamaan serta pelancaran dijadualkan berlangsung antara Mei hingga Ogos 2026.
“Selain itu, pelaksanaan Pelan Transformasi TLDM 15to5 menjadi asas penting kepada usaha pemodenan serta rasionalisasi angkatan bagi memastikan kesiagaan armada memenuhi keperluan operasi semasa.
“TLDM turut membangunkan konsep networked fleet yang seimbang bagi melaksanakan pelbagai operasi, bermula daripada keselamatan maritim sehingga ke tahap peperangan berintensiti tinggi secara bersepadu dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan, TLDM giat melatih bakal warga kapal serta Base Maintainer di dalam dan luar negara sebagai persediaan menerima aset baharu LCS dan LMSB2.
“Pemilihan anggota dibuat secara teliti bagi memenuhi kriteria ditetapkan, manakala latihan berterusan dan komprehensif menjadi kunci memastikan setiap anggota kompeten mengendalikan aset strategik negara,” katanya. – UTUSAN










