Nippon Paint Malaysia perkukuh strategi TCCS

Nippon Paint Malaysia perkukuh strategi TCCS, perkenal produk baharu

TYE SZE TUCK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nippon Paint Malaysia merancang memperkenalkan lebih banyak produk baharu bagi terus mengukuhkan ekosistem Penyelesaian Salutan & Pembinaan Menyeluruh (TCCS) pada tahun ini.

Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck berkata, antara yang akan diperkenalkan termasuk siri baharu cat kesan khas dan cat dinding, salutan perlindungan yang dipertingkatkan serta pengembangan penyelesaian bahan campuran kering (drymix).

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan komitmen syarikat untuk menawarkan inovasi menyeluruh berasaskan sistem merentasi segmen pembinaan, infrastruktur dan perindustrian.

“Pada 2026, strategi perniagaan kami akan diselaraskan secara kukuh dengan prospek sektor pembinaan serta keperluan persekitaran binaan yang semakin berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, melalui TCCS, syarikat menawarkan penyelesaian berasaskan sistem yang melangkaui produk semata-mata dengan mengintegrasikan kepakaran teknikal, sokongan pengurusan projek serta salutan berprestasi tinggi bagi meningkatkan ketahanan, kecekapan dan perlindungan aset jangka panjang.

“Seiring perkembangan pembangunan infrastruktur, kami melihat peluang yang kukuh untuk menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan negara melalui penyelesaian yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bangunan yang semakin berusia membuka peluang besar dalam segmen pengubahsuaian.

“Banyak struktur sedia ada memerlukan peningkatan bagi memenuhi piawaian keselamatan, prestasi dan kelestarian moden,” katanya.

Sehubungan itu, tumpuan akan diberikan kepada penyelesaian pengubahsuaian khususnya kerja mengecat semula, kalis air semula, pembaikan lantai dan pengedapan semula.

Dalam segmen perindustrian pula, Nippon Paint akan memperluas penyelesaian lantai industri seiring peningkatan automasi dan keperluan sistem berprestasi tinggi.

“Permintaan terhadap sistem lantai yang memenuhi keperluan ketahanan, keselamatan dan pematuhan semakin meningkat. Kami turut melabur dalam teknologi bagi menyokong keperluan ini,” katanya.

Beliau berkata, pada 2024 pihaknya melancarkan sistem anti-pemekatan garam (anti-efflorescence), yang pertama di rantau ini dengan jaminan penyelesaian terhadap masalah yang menjejaskan penampilan dan ketahanan bangunan.

“Pada 2025, kami memperkenalkan sistem anti-kesan tidak sekata, juga yang pertama di rantau ini dengan sokongan jaminan, bagi menangani ketidakseimbangan warna dan ketidakkonsistenan permukaan,” katanya.

Tambah beliau, baru-baru ini syarikat turut melancarkan secara awal produk semburan pelindung cat ‘Perisai Halimunan’ berkeupayaan pulih sendiri (AI-PPS) untuk pasaran automotif.

“Produk ini dibangunkan melalui penyelidikan teknologi salutan dan kimia poliuretana bagi membentuk lapisan pelindung lutsinar pada permukaan kenderaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keutamaan syarikat kini adalah memperkukuh kehadiran dan memperdalam keupayaan dalam pasaran sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×